Malaysia catat kemajuan ketara dalam Matlamat Pembangunan Mampan, kata DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia catat kemajuan ketara dalam Matlamat Pembangunan Mampan, kata DOSM

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 17 Dis – Malaysia mencatat kemajuan ketara dalam beberapa bidang utama Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam usaha mencapai Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Laporan itu menunjukkan sebanyak 82% indikator SDG peringkat nasional telah berjaya disediakan, membolehkan penilaian prestasi negara dibuat secara lebih menyeluruh merangkumi lima bidang tumpuan utama iaitu rakyat, kemakmuran, alam sekitar, keamanan dan perkongsian.

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ketersediaan set data yang komprehensif dan berkualiti tinggi adalah penting bagi memastikan prinsip tiada siapa yang tertinggal dapat direalisasikan.

 

“Indikator SDG yang relevan, boleh dipercayai dan tepat pada masanya amat penting bagi memastikan data yang dikumpulkan bukan sahaja mencerminkan prestasi di peringkat nasional, malah realiti sebenar kehidupan rakyat,” katanya.

 

Dari segi kemiskinan, laporan itu menunjukkan trend yang memberangsangkan, khususnya dalam usaha merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar. 

 

Insiden kemiskinan bandar menurun daripada 4.5% kepada 3.7%, manakala kemiskinan luar bandar berkurang daripada 12.0% kepada 9.9%.

 

Bagi pasaran buruh pula, sebanyak 10 negeri merekodkan kadar pengangguran lebih rendah daripada purata nasional 3.3%, dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatat kadar hampir sifar pada 0.7%.

 

Dari aspek pendigitalan, penggunaan internet kekal pada tahap yang sangat tinggi dengan tujuh negeri melepasi purata nasional. 

 

Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing mencatat kadar penggunaan internet sebanyak 100%.

 

Secara keseluruhan, Malaysia telah menyediakan sebanyak 205 indikator SDG yang tersedia, bersamaan kadar ketersediaan 82% berbanding rangka kerja global yang dipersetujui.

 

Menurut DOSM, pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan untuk menutup jurang data sejak laporan pertama diterbitkan pada 2018.

 

DOSM, bersama Pusat SDG Kebangsaan, kementerian peneraju serta penyedia data, terus memperluas kerjasama dengan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) bagi meningkatkan ketersediaan data yang lebih terperinci, khususnya di peringkat tempatan.

 

Menurut DOSM, kualiti dan ketersediaan indikator SDG yang tinggi adalah kritikal bagi memantau pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selain menilai kemajuan Malaysia di peringkat ASEAN dan antarabangsa. - DagangNews.com