Malaysia berpotensi jadi hab penjagaan kesihatan utama didorong kemajuan teknologi, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia berpotensi jadi hab penjagaan kesihatan utama didorong kemajuan teknologi, kata MBSB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menjadi hab penjagaan kesihatan utama didorong kualiti penjagaan yang tinggi, kemajuan teknologi, dan pertumbuhan dalam sektor tersebut, menurut MBSB Research.

 

Bagaiamanapun, firma penyelidikan itu berkata, cabaran tetap wujud disebabkan populasi yang semakin menua, peningkatan penyakit tidak berjangkit dan penyakit berjangkit, serta tekanan dalam aspek pembiayaan.

 

“Cabaran kini bukan lagi hanya mengenai akses asas, sebahagian besarnya telah dicapai di Semenanjung Malaysia, tetapi lebih kepada isu kualiti, kecekapan, kesaksamaan dan kelestarian dalam menghadapi peningkatan kos dan permintaan.

 

“Malaysia tidak terikat kepada satu model ideologi — sama ada sepenuhnya awam atau sepenuhnya swasta. Sebaliknya, negara ini mengamalkan sistem dua lapis yang pragmatik dengan peningkatan kerjasama awam-swasta,” katanya dalam satu nota kajian.

 

MBSB Research turut menekankan, industri penjagaan kesihatan Malaysia kini berada dalam fasa transformasi kritikal, di mana kejayaan perjalanan itu bergantung kepada keupayaan untuk melaksanakan perubahan strategik secara berkesan.

 

Katanya, negara ini mempunyai asas yang kukuh dalam sektor penjagaan kesihatan serta pemahaman yang jelas tentang cabaran kompleks yang dihadapi.

 

Firma penyelidikan itu percaya, negara perlu mengekalkan kemahuan politik yang kukuh untuk mengharungi kesukaran yang wujud dalam melaksanakan reformasi menyeluruh, dengan matlamat akhirnya untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang benar-benar saksama, berkualiti tinggi dan mampan untuk semua.

 

Katanya, subsidi besar-besaran kerajaan terhadap penjagaan kesihatan awam serta usaha aktif untuk mencapai liputan kesihatan sejagat melalui pelbagai inisiatif menunjukkan komitmen asas kerajaan dalam memastikan penjagaan kesihatan kekal sebagai hak untuk semua warganegara.

 

"Ini jelas dapat dilihat melalui peruntukan Belanjawan 2025 sebanyak RM45.3 bilion untuk sektor penjagaan kesihatan tempatan. 

 

“Kesediaan untuk menangani isu kos tinggi juga secara langsung menunjukkan tumpuan terhadap perlindungan risiko kewangan untuk rakyat,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penekanan Kementerian Kesihatan terhadap pendigitalan, analitik data dan penjagaan kesihatan berasaskan nilai mencerminkan pendekatan yang berpandangan ke hadapan.

 

MBSB Research mengekalkan pendirian “positif” terhadap sektor ini berikutan sokongan berterusan daripada kerajaan, dorongan daripada trend semasa, serta potensi sumbangan kepada ekonomi tempatan dan serantau. - DagangNews.com