Malaysia antara negara peroleh manfaat daripada tarif Trump yang mengubah perdagangan APAC - Moody's | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia antara negara peroleh manfaat daripada tarif Trump yang mengubah perdagangan APAC - Moody's

Oleh NUR 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 9 April - Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif secara meluas dijangka memberi kesan negatif terhadap kredit di rantau Asia-Pasifik (APAC), namun negara yang dikenakan tarif rendah akan mendapat kelebihan.

 

Dalam laporan terkini Moody's Rating, negara seperti Malaysia, India, dan Filipina berpotensi meraih bahagian pasaran melalui kerjasama perdagangan bagi memenuhi permintaan pasaran AS. 

 

Moody’s berkata, kesan buruk terhadap pasaran sempadan seperti Sri Lanka, Pakistan (Caa2 positif), dan Bangladesh, yang menghadapi kesulitan dalam mengimport barang dari AS dan mempunyai imbangan akaun semasa yang rapuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tarif baharu itu akan menjejaskan strategi ‘China+1’, dan mempelbagaikan rantaian bekalan yang menjauhi China pada masa ini. 

 

Namun, ekonomi APAC mungkin didorong untuk meperkasakan hubungan perdagangan dan pelaburan intra-rantau.

 

“Negara dengan tarif lebih rendah di rantau ini mungkin berpeluang meraih bahagian pasaran daripada aktiviti kerjasama perdagangan untuk memenuhi pasaran AS dalam jangka pendek.

 

“Contohnya, Malaysia (A3 stabil), India (Baa3 stabil) dan Filipina (Baa2 stabil), yang dikenakan tarif pada kadar sederhana (10-30 peratus), mungkin akan mendapat manfaat daripada beberapa aktiviti pemindahan perdagangan,” kata Moody’s dalam satu kenyataan.

 

Moody’s berkata, ekonomi dengan pasaran domestik besar seperti India boleh mendapat manfaat daripada aliran pengeluaran yang dipindahkan ke negara tersebut, sekali gus memberi akses kepada asas pengguna yang besar dan mengekalkan kos operasi yang rendah. Walau bagaimanapun, perkembangan ini dijangka berlaku dalam tempoh beberapa tahun.

 

Negara yang dikenakan tarif terendah, termasuk New Zealand (Aaa stabil), Australia (Aaa stabil), dan Singapura (Aaa stabil) juga tidak terlepas daripada kesan negatif ini. 

 

Singapura khususnya dilihat mempunyai pendedahan yang tinggi terhadap kemerosotan perdagangan global.

 

"Selain itu, bagi Australia, New Zealand dan Indonesia, kemungkinan berdepan kemerosotan dalam permintaan akhir dari China yang merupakan rakan dagang terbesar mereka, akan menyebabkan permintaan terhadap eksport komoditi yang lebih rendah," katanya.

 

Moody’s turut menyorot potensi kesan buruk terhadap pasaran sempadan seperti Sri Lanka, Pakistan (Caa2 positif), dan Bangladesh yang menghadapi kesulitan dalam mengimport barang dari AS dan mempunyai imbangan akaun semasa yang rapuh.

 

Ia berkata, ekonomi-ekonomi itu mungkin mengalami tekanan lanjut terhadap prospek pertumbuhan ekonomi mereka. - DagangNews.com