KUALA LUMPUR 4 Jun – Malaysia Airlines melancarkan kempen "Time for Premium Escapades" yang menawarkan tambang eksklusif Kelas Perniagaan bermula RM699 bagi laluan domestik dan RM1,149 untuk destinasi antarabangsa.
Kempen itu berlangsung dari 4 hingga 19 Jun 2025 untuk perjalanan antara 4 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, merangkumi destinasi di Asia, Australia, dan Eropah, serta terbuka kepada penumpang dari Malaysia, Singapura, dan ASEAN.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, penumpang Kelas Perniagaan bakal menikmati kemudahan seperti Chef-on-Call, tempat duduk yang boleh menjadi katil, pelepasan pantas di lapangan terbang, Wi-Fi percuma bagi pesawat terpilih, akses ke Golden Lounge, dan pemindahan terminal dengan Mercedes-Benz di Terminal 1 KLIA.
"Pengenalan pesawat A330neo baharu kami yang dilengkapi tempat duduk Elevation dengan suite individu serta pintu peribadi mengukuhkan lagi komitmen syarikat dalam menetapkan penanda aras baharu bagi perjalanan yang berkualiti," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, ahli Enrich boleh menikmati akses awal dengan diskaun tambahan 5% melalui Jualan Keutamaan pada 4 dan 5 Jun, manakala penumpang yang bukan ahli boleh mendaftar untuk mendapatkan tawaran tersebut.

Kempen itu turut menawarkan tambang Kelas Ekonomi serendah RM119 untuk laluan domestik dan RM469 bagi destinasi antarabangsa.
Malahan, penumpang Kelas Ekonomi juga menerima layanan mesra dan perhatian khusus bagi penerbangan jarak dekat mahupun jauh.
Tempahan boleh dibuat menerusi laman web rasmi Malaysia Airlines, aplikasi mudah alih MHmobile atau ejen pelancongan yang sah.- DagangNews.com








