KUALA LUMPUR 6 Okt – Malaysia Airlines meneruskan kempen global terkenal “Time For” dengan memperkenalkan “Time for Comfort in the Skies” memberi peluang kepada pengembara untuk menikmati pengalaman penerbangan premium yang istimewa.
Kempen itu menawarkan ciri utama layanan terbaik Malaysia dan menawarkan keselesaan kepada penumpang kelas perniagaan dan ekonomi.
Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan kempen itu berlangsung dari 7 hingga 22 Oktober 2025, dengan tambang kelas perniagaan bermula dari RM699 untuk laluan domestik dan RM1,149 untuk laluan antarabangsa bagi perjalanan sehingga 31 Ogos 2026.
“Ahli program kesetiaan Enrich akan menikmati akses awal pada 7 dan 8 Oktober, termasuk diskaun tambahan 5% dan keistimewaan penebusan khas.
“Bagi penumpang kelas perniagaan, pengalaman penerbangan ditingkatkan melalui kemudahan premium, termasuk akses ke Golden Lounge, MH Signature Drink semasa ketibaan, hidangan gourmet dengan Chef-on-Call, dan Wi-Fi tanpa had percuma melalui MHconnect di pesawat terpilih.
“Penumpang kelas ekonomi pula dapat menikmati layanan mesra, pilihan tempahan makanan sebelum penerbangan, menu Best of Asia serta hiburan di atas pesawat dan Wi-Fi tanpa had percuma melalui MHconnect,” kata syarikat penerbangan itu.
Malaysia Airlines juga menawarkan pengalaman menyeronokkan untuk seisi keluarga melalui program MH Junior Explorer termasuk Kids’ Activity Packs, hidangan Junior Explorer dan hiburan yang sesuai kanak-kanak sepanjang penerbangan.
Selain itu, kempen Bonus Side Trip (BST) kini diperluaskan kepada lapan destinasi dengan Kuching, Sarawak sebagai destinasi terbaru.
Penambahan ini membuka peluang kepada penumpang jarak jauh untuk meneroka hutan hujan Borneo, hidupan liar dan mengenali budaya tempatan.
Pengembara boleh menempah penerbangan melalui laman web rasmi Malaysia Airlines, aplikasi mudah alih, atau ejen pelancongan yang sah di seluruh dunia.- DagangNews.com








