KUALA LUMPUR 23 April - Malaysia Airlines Berhad (MAB), Brisbane Airport dan Tourism and Events Queensland (TEQ) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik tiga hala bagi mengukuhkan sektor pelancongan dan hubungan udara antara Malaysia dan Queensland, Australia.
Memorandum persefahaman (MoU) tiga hala yang ditandatangani pada 19 April 2025 itu bertepatan dengan pengumuman terbaharu mengenai perkhidmatan Kuala Lumpur–Brisbane semasa Pameran MATTA, yang dijadualkan bermula pada 29 November 2025 dengan kekerapan lima penerbangan seminggu.
Bagi menjayakan pelancaran tersebut, MAB menawarkan tambang pergi balik serba lengkap bermula dari RM1,999 untuk Kelas Ekonomi dan RM8,999 untuk Kelas Perniagaan. Tambang pengenalan itu boleh ditempah mulai sekarang sehingga 18 Mei 2025.
Mengulas mengenai kerjasama dengan Brisbane Airport dan TEQ, Ketua Pegawai Komersial Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, ia membolehkan MAG memanfaatkan maklumat bersama bagi merangsang permintaan serta menyokong sektor pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua wilayah, di samping memperkukuh hubungan udara antara Malaysia dan Australia.
"Melalui usaha pemasaran yang diselaraskan dan kempen bersama, MoU bertujuan untuk meletakkan Queensland sebagai destinasi pelancongan utama serta menjadikan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan pilihan untuk pengembara Asia-Pasifik yang menuju ke Brisbane.
"Kami teruja menyokong sektor pelancongan dan perdagangan antara Malaysia dan Queensland, menghubungkan masyarakat, budaya, dan peluang," katanya dalam satu kenyataan.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pembangunan Perniagaan Penerbangan Brisbane Airport, Anthony Cicuttini berkata, laluan Kuala Lumpur membuka kesalinghubungan lancar ke Malaysia serta pasaran utama lain di Asia dan Eropah untuk para pengembara.
"Kerjasama bersama Malaysia Airlines dan Tourism and Events Queensland mampu memastikan kelestarian perkhidmatan ini, sekali gus merancakkan trafik dan perdagangan merentasi rangkaian.
"Brisbane Airport kembali mencapai jumlah destinasi langsung pra-pandemik sebanyak 33 destinasi," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism and Events Queensland, Craig Davidson berkata, MoU tersebut merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan pihaknya untuk meningkatkan akses penerbangan ke negeri itu.
"Malaysia merupakan pasaran utama kami dan kerjasama ini akan memudahkan lagi perjalanan pengembara dari seluruh Asia ke Queensland. Daripada Great Barrier Reef ke bandar-bandar yang meriah serta pantai emas yang memukau, negeri kami menawarkan pelbagai pengalaman unik yang menanti untuk diterokai," jelasnya.
Kerjasama strategik itu bertujuan merangsang permintaan pelancongan ke Queensland melalui kekuatan, kepakaran, dan capaian pasaran yang dimiliki ketiga-tiga pihak.
Menerusi inisiatif pemasaran dan promosi bersama, kerjasama itu akan memperkukuh daya tarikan Queensland sebagai destinasi pilihan dan menjadikan Malaysia Airlines sebagai pengangkut udara utama ke Brisbane.
Laluan baharu dan kerjasama strategik itu turut dijangka membawa manfaat ekonomi dan pelancongan yang signifikan, sekali gus mempererat hubungan dua hala serta meningkatkan kesalinghubungan antara rakyat Malaysia dan Queensland.- DagangNews.com








