KUALA LUMPUR 6 Mei - Malakoff Corporation Berhad menerusi Malakoff Power Berhad (MPower) berjaya menerbitkan Sukuk Murabahah SRI Kemampanan ASEAN sulungnya bernilai RM250 juta di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) bernilai RM1.2 bilion.
Ia merupakan penawaran kelestarian pertama Malakoff di bawah Sukuk Murabahah SRI Kemampanan ASEAN dan yang pertama oleh pengeluar tenaga bebas di Malaysia.
Hasil terbitan itu akan digunakan untuk membiayai projek-projek yang bersesuaian oleh MPower, Malakoff serta anak anak syarikatnya, selaras dengan Kerangka Kewangan Lestari Malakoff yang telah diwujudkan sejak Disember 2023.
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, memandangkan terbitan Sukuk awam terakhir MPower adalah pada Disember 2013, pihaknya amat teruja dengan permintaan yang kukuh daripada pelabur yang telah menetapkan penanda aras harga baharu bagi MPower.
"Melangkah ke hadapan, Malakoff akan terus memperluaskan portfolio aset melalui perkongsian strategik dan inisiatif ekonomi kitaran.

"Sebagai rakan kongsi dipercayai dalam peralihan hijau Malaysia, kami kekal fokus untuk memperkukuhkan keupayaan, meningkatkan kecekapan dan menyampaikan nilai jangka panjang dalam landskap tenaga yang sentiasa berkembang" katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan permintaan yang meningkat untuk aset kelestarian dan nilai kekurangan bagi tawaran sukuk oleh MPower, transaksi itu telah terlebih langgan sebanyak 10.34 kali. Disokong oleh buku pesanan yang kukuh, panduan harga telah disemak dan diperketatkan beberapa kali.
Terbitan itu akhirnya ditetapkan pada harga MGS +70 mata asas bagi kedua-dua tempoh 7 dan 10 tahun, iaitu 30 mata asas lebih rendah daripada hujung atas panduan harga awal.
Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) merupakan pengurus utama tunggal dan ejen kemudahan manakala Maybank Islamic Berhad bertindak sebagai penasihat syariah bagi terbitan itu. Maybank IB juga merupakan penasihat struktur kelestarian bagi Kerangka Kewangan Lestari Malakoff.
Malakoff turut melancarkan Projek Perintis Pembakaran Bersama Biojisim di Loji Janakuasa Tanjung Bin berkapasiti 2,100 MW untuk ujian percubaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Haji Yusof, projek itu telah mencapai nisbah pembakaran bersama biojisim sebanyak 2%.
Malakoff komited untuk meningkatkan nisbah ini kepada 15% menjelang 2027. Ia dijangka mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sebanyak kira-kira 755,000 tan setahun, bersamaan dengan serapan karbon oleh 142 juta pokok matang.
Kumpulan itu juga akan terus memperluas portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan mencapai kapasiti RE keseluruhan sebanyak 173 MW — peningkatan 496.6% berbanding asas 2021.
Ini merangkumi 17.4 MWp pemasangan solar komersial dan industri yang telah siap serta pengambilalihan pegangan ekuiti dalam ZEC Solar Sdn. Bhd. (51%) dan TJZ Suria Sdn Bhd (49%) yang menyumbang tambahan 29 MW.- DagangNews.com








