KUALA LUMPUR 11 April - Malakoff Radiance Sdn Bhd (MRSB), anak syarikat komersial dan industri tenaga solar di bawah Malakoff Corporation Berhad, telah meterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) bersama Masjid Saidina Umar Al-Khattab (MSUA), Bukit Damansara bagi pembangunan sistem Solar Carport Fotovoltaik Bersepadu Bangunan (BIPV) berkapasiti 203 kWp.
Perjanjian itu ditandatangani Pengerusi Malakoff, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan MSUA, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Sebagai Pelabur Solar PV Berdaftar (RPVI) bagi projek itu, MRSB bertindak sebagai penyedia penyelesaian tenaga lestari kepada MSUA yang berperanan sebagai pelanggan.
Projek itu menggunakan model pelaksanaan Zero CAPEX dan siap dalam tempoh empat bulan.
Sistem BIPV itu berfungsi dua dalam satu, bukan sahaja sebagai penjana tenaga hijau tetapi juga menyediakan bumbung berteduh untuk lebih 40 ruang letak kenderaan.
Projek itu merupakan inisiatif komuniti pertama oleh MRSB dan bakal menjadi model rujukan bagi projek seumpama pada masa hadapan, dengan matlamat mengurangkan kos elektrik masjid serta menyokong penggunaan tenaga boleh baharu (RE) dalam skala masyarakat.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, projek ini selaras dengan misi Malakoff untuk memperkaya komuniti melalui tenaga bersih dan inovatif.
"Kerjasama bersama MSUA ini menandakan pencapaian penting dalam misi kami memupuk pembangunan lestari komuniti. Ia bukan sahaja memberi penjimatan, tetapi mendidik masyarakat tentang nilai jangka panjang tenaga solar," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyatakan masjid sebagai pusat perhimpunan pelbagai lapisan masyarakat merupakan platform ideal untuk memperluaskan kesedaran mengenai tenaga boleh baharu.
Menerusi cabang perniagaan Malakoff Green Solutions, syarikat kini memiliki portfolio RE berkapasiti 173 MW. Ianya merangkumi projek Solar Skala Besar, pemasangan solar untuk sektor komersial dan industri, jana kuasa hidro kecil, serta pembangunan infrastruktur mobiliti rendah karbon.
Anwar Syahrin menegaskan komitmen berterusan syarikat untuk melaksanakan lebih banyak projek berfokuskan komuniti selaras dengan visinya untuk masa depan yang lebih hijau dan berdaya tahan.
"Inisiatif ini mungkin kelihatan kecil tetapi impaknya berpotensi besar. Kami teruja dengan kemungkinan yang bakal tercetus daripadanya," katanya.- DagangNews.com








