Malakoff, New Energy Asia bina kemudahan pengecasan EV berkuasa solar di ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff, New Energy Asia bina kemudahan pengecasan EV berkuasa solar di ASEAN

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Jun - Malakoff Corporation Berhad melalui anak syarikat solarnya, Malakoff Radiance Sdn Bhd (MRSB), menjalin kerjasama dengan New Energy Asia Sdn Bhd untuk membangunkan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) berkuasa solar di Malaysia dan rantau ASEAN.

 

Kerjasama itu bertujuan membangunkan rumusan pengecasan EV bersepadu berasaskan tenaga boleh diperbaharui, berkongsi kepakaran teknikal, serta meneroka peluang perniagaan serantau.

 

New Energy Asia adalah syarikat usaha sama HICOM Engineering dan Hangzhou Flash Charge dari China yang berpengalaman dalam rumusan cas pantas EV.

 

Ia kini merancang kerjasama strategik dengan MRSB bagi menyokong peralihan Malaysia kepada penggunaan kenderaan mesra alam.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, kerjasama tersebut selari dengan usaha berterusan syarikat untuk mengukuhkan tenaga boleh diperbaharui melalui perkongsian strategik yang berkesan.

 

"Kami baru-baru ini menandatangani perjanjian jual beli tenaga solar terbesar kami berkapasiti 4.22 MWp dengan HICOM Automotive di Pekan. 

 

"Ia susulan kejayaan pemasangan 2.0 MWp sebelum ini yang menjimatkan sekitar 7.0 GWh tenaga elektrik dan mengurangkan hampir 5,500 tan pelepasan karbon," katanya dalam satu kenyataan.

 

Majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) itu diadakan di Hilton Kuala Lumpur di antara Pengarah MRSB, Nazersham Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif New Energy Asia, Li Min. 

 

Ia turut disaksikan wakil kedua-dua syarikat iaitu Naib Presiden Kanan Bahagian Penjanaan Tempatan MRSB, Mohd Kopli Yunus dan Ketua Pegawai Operasi New Energy Asia, Hazrin Fazail Haroon.

 

Anwar Syahrin menambah, kerjasama dengan New Energy Asia akan menggabungkan sistem pengangkutan bersih dengan infrastruktur solar sedia ada, sekali gus menambah nilai kepada ekosistem tenaga bersih.

 

Malakoff melalui Malakoff Green Solutions telah membangunkan portfolio tenaga boleh diperbaharui sebanyak 173 MW. 

 

Ia merangkumi projek solar berskala besar, pemasangan solar untuk sektor industri dan komersial, jana kuasa hidro kecil serta pembangunan infrastruktur pengecasan EV bebas karbon. - DagangNews.com