Malakoff jalin kerjasama dengan Evergreen Earth teroka projek tenaga hijau di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff jalin kerjasama dengan Evergreen Earth teroka projek tenaga hijau di Sarawak

Malakoff perluas tenaga hijau di Sarawak melalui projek baharu dengan Evergreen Earth
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai - Malakoff Corporation Bhd memperkukuh komitmen terhadap pertumbuhan lestari dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Evergreen Earth Sdn Bhd (EESB) bagi meneroka pelaburan dalam pembangunan loji janakuasa fotovolta suria (PV) dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui (TBB) lain di Sarawak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, projek tenaga hijau tersebut merupakan langkah penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia ke arah model yang lebih mampan.

 

“Melalui usaha ini, Malakoff menyokong aspirasi Sarawak untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan memperkukuh kepelbagaian campuran tenaga. 

 

“Ini membuka ruang kepada pembentukan landskap tenaga yang lebih bersedia untuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerjasama strategik itu dimeterai sempena penganjuran International Energy Week 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching dan disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Haji Fadillah Yusof.

 

Pertukaran MoU melibatkan Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan Malakoff, Shaja Ibrahim dan Pengarah EESB, Datuk Mohamad Danel Abong.

 

Menerusi kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan menumpukan kepada pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan, penilaian tapak, strategi pembangunan dan model kerjasama tempatan bagi projek tenaga suria dan inisiatif tenaga hijau lain. 

 

Ia turut merangkumi perkongsian kepakaran teknikal, maklumat pasaran dan keperluan peraturan, selain usaha bersama bagi memperoleh kelulusan dan sambungan grid.

 

Inisiatif ini selari dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan dijangka menjadi pemangkin kepada sasaran jangka panjang negara dalam mencapai sistem tenaga rendah karbon.

 

Selain itu, beliau berkata, projek ini juga dijangka memberi impak ekonomi yang signifikan melalui pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran tempatan dan pembangunan infrastruktur luar bandar.

 

Setakat Jun 2025, portfolio solar bumbung Malakoff telah mencapai kapasiti 63.6 MW, manakala portfolio TBB secara keseluruhan menyumbang 198 MW melalui sumber solar, hidro kecil dan tenaga daripada sisa. 

 

Pada tahun 2024, Malakoff mencatatkan penjanaan sebanyak 67.0 GWh tenaga elektrik bersih daripada sumber boleh diperbaharui.

 

Sebagai entiti yang terus memperkukuh kehadiran dalam tenaga bersih, Malakoff kini menggerakkan usaha peralihan tenaga melalui anak syarikatnya, Malakoff Green Solutions, dengan fokus kepada integrasi tenaga bersih termasuk infrastruktur mobiliti bebas karbon.

 

Sempena ulang tahun ke-50 penubuhannya, Malakoff menegaskan kesediaannya untuk terus memacu transformasi tenaga negara, selaras dengan misinya ‘Enhancing Life, Enriching Communities’, ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan. - DagangNews.com