Malacca Securities menilai harga saham Fibromat yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 70 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malacca Securities menilai harga saham Fibromat yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 70 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Malacca Securities memberikan nilai wajar kepada syarikat rumusan geoteknikal dan kejuruteraan pakar, Fibromat (M) Berhad pada 70 sen sesaham.

 

Penilaian tanpa penarafan itu adalah 27.3% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 55 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Mei 2025.

 

Katanya, penilaian itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 15 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) pertengan FY26 sebanyak 4.64 sen.

 

"PER yang diperuntukkan itu menggambarkan diskaun antara 71.3% hingga 108.7% kepada purata wajaran bagi rakan setaranya yang hampir dalam sektor itu," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu terlibat dalam menyediakan rumusan kejuruteraan geoteknikal di seluruh Malaysia, dengan tumpuan pada kawalan hakisan, pembaikan tanah dan pembendungan sedimen.

 

Katanya, ia beroperasi berdasarkan projek, menawarkan perkhidmatan daripada reka bentuk kepada pemasangan dan secara strategik menyumber luar sebahagian daripada kerja pemasangannya kepada subkontraktor bagi mengoptimumkan kecekapannya.

 

"Kami percaya industri rumusan geoteknikal Malaysia bakal mendapat manfaat daripada perbelanjaan kerajaan dan proses kemajuan bandar berterusan, dengan RM15 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2024-25.

 

"Daripada jumlah ini, RM11.8 bilion diperuntukkan untuk 33 projek tebatan banjir, manakala selebihnya menyokong penyelenggaraan cerun, pembaikan tanah runtuh dan pemuliharaan sungai," katanya.

 

Malacca Securities berkata, kekuatan utama Fibromat terletak pada kepelbagaian produknya, membolehkan syarikat itu memenuhi pelbagai keperluan projek geoteknikal.

 

"Fleksibiliti ini akan membolehkan syarikat membuat tender secara meluas dan mengurangkan risiko penumpuan pelanggan," katanya.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk mengumpul RM17.8 juta daripada IPO dan sejumlahRM7.6 juta (42.6%) akan digunakan bagi pembelian mesin baharu, RM6.7 juta (37.8%) bagi modal kerja dan RM3.5 juta (19.6%) diperuntukkan untuk kos penyenaraian.

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com