KUALA LUMPUR 11 April - Malacca Securities Sdn Bhd melancarkan perkhidmatan langganan tawaran awam permulaan (IPO) Amerika Syarikat (AS) pertama di Malaysia bagi pelabur runcit melalui platform dagangannya M+Global.
Perkhidmatan itu bermula dengan IPO Chagee Holdings Ltd, menawarkan akses kepada pelabur untuk melanggan saham kumpulan itu melalui aplikasi mudah alihnya.
Pengguna M+Global boleh mula melanggan IPO Chagee mulai hari ini.
“Bermula dengan Chagee, kami membrikan akses kepada IPO global premium, membolehkan pelabur runcit Malaysia melabur dengan berpatutan dan yakin di pentas antarabangsa buat kali pertama,” kata Pengarah Urusan M+Global, Lim Chia Wei dalam satu kenyataan.
IPO AS biasanya tidak disertakan dengan tawaran kepada pelabur runcit biasa, dan saham tersebut dikhaskan oleh penaja jamin dan peniaga kepada pelanggan institusi mereka, seperti dana lindung nilai dan individu bernilai tinggi.
Pelabur individu biasa perlu membeli saham tersebut apabila ia dijual semula di pasaran.
Sebagai sebahagian daripada kumpulan taja jamin atau penjualan, M+Global berkata, ia akan mendapatkan saham IPO terus daripada syarikat penyenaraian, dan menawarkannya secara eksklusif kepada pelanggannya.
Chagee sedang berusaha untuk mengumpul AS$411 juta (RM1.82 bilion) dalam IPO di Nasdaq, berharga AS$26 hingga AS$28 sesaham, menurut pemaklumannya dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS.
Kumpulan itu boleh mempunyai permodalan pasaran sebanyak AS$3.3 bilion.- DagangNews.com








