KUALA LUMPUR 5 Mei – Majuperak Holdings Bhd melancarkan projek perumahan Taman Tasik Ardea bernilai RM141 juta di Sungai Terap, Batu Gajah melibatkan 601 unit rumah mampu milik dalam tiga fasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Muhammad Yazurin Sallij berkata, Taman Tasik Ardea adalah bukti kesungguhan Majuperak dalam menyeimbangkan nilai komersial dan impak sosial kepada komuniti setempat.
"Setiap unit dibangunkan dengan teliti, mengambil kira gaya hidup semasa, keperluan harian, dan kemampuan kewangan rakyat.
"Kami menjangkakan keseluruhan projek siap menjelang September 2026," katanya dalam satu kenyataan.
Projek itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang menyifatkan Taman Tasik Ardea sebagai sokongan kepada agenda kerajaan negeri menerusi Program Flagship Perumahan Sejahtera di bawah plan Perak Sejahtera 2030.
"Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan penyediaan rumah yang berkualiti dan mampu milik. Pembangunan ini bukan sekadar menyediakan kediaman, malah merupakan satu pelaburan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Taman Tasik Ardea yang dibangunkan oleh Syarikat Majuperak Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), menawarkan rumah teres setingkat pada harga bermula serendah RM90,000 bagi Rumah Perakku 1, sehingga RM250,000 bagi Rumah Perakku 3.
Kediaman itu dilengkapi tiga hingga empat bilik tidur dengan keluasan antara 1,075 kaki persegi hingga 1,275 kaki persegi.
Pembangunan Taman Tasik Ardea akan dilaksanakan dalam tiga fasa, bermula dengan 161 unit pada Fasa 1, diikuti 264 unit pada Fasa 2, dan 176 unit bagi Fasa 3.- DagangNews.com








