MaiStorage sasar penyenaraian di Bursa Malaysia menjelang 2028 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MaiStorage sasar penyenaraian di Bursa Malaysia menjelang 2028

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 22 Mei – MaiStorage Technology Sdn Bhd menyasarkan penyenaraian di Bursa Malaysia menjelang tahun 2028 dalam usaha jangka panjang mengukuhkan pertumbuhan dan mengekalkan bakat kejuruteraan tempatan.

 

Dalam tempoh kurang setahun, syarikat mencatatkan keuntungan sekitar RM4 juta, hasil penyediaan rumusan storan perusahaan dan perkhidmatan reka bentuk.

 

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Pua Khein Seng berkata, rancangan tawaran awam permulaan (IPO) telah dimulakan dengan matlamat memberi peluang kepada jurutera dan kakitangan menjadi pemegang saham berdasarkan nilai awal syarikat.

 

maistorage
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Pua Khein Seng

 

"Apabila syarikat mula menjana keuntungan selepas disenaraikan, mereka akan menikmati dividen dan berkongsi manfaat, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka," katanya dalam satu kenyataan semasa pelancaran rasmi MaiStorage.

 

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

 

MaiStorage merupakan penyedia rumusan reka bentuk IC dan teknologi storan yang menyasarkan pusat data, kecerdasan buatan (AI), dan automotif di Malaysia, disokong oleh syarikat induknya, Phison Group yang memiliki lebih 20 tahun pengalaman industri.

 

maistorage
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

 

Antara produk utamanya termasuk rumusan PASCARI enterprise SSD dan aiDAPTIV+, iaitu platform AI menyokong latihan model bahasa besar (LLM) dan inovasi berasaskan AI untuk pelanggan korporat.

 

Khein Seng berkata, sejak memulakan operasi pada Ogos lalu, syarikat telah melatih serta menggaji 50 graduan muda sebagai jurutera reka bentuk IC dan menyasarkan untuk melatih 175 jurutera tempatan menjelang 2026.

 

"Melalui kerjasama erat dengan industri dan kerajaan Malaysia, kami yakin dapat mempercepatkan peralihan negara daripada pengguna kepada pencipta teknologi," katanya.

 

maistorage

 

MaiStorage telah memperoleh pelanggan daripada agensi kerajaan persekutuan dan negeri, institusi pendidikan, syarikat pembangunan perisian serta agensi penyelidikan dan pembangunan nasional.

 

"Pelaburan keseluruhan kami berjumlah RM100 juta dan kini nilai aset bersih syarikat telah melepasi jumlah itu," tambah Khein Seng.

 

Tiga tahun akan datang, MaiStorage merancang menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan NAND Flash Controller IC, pembangunan aplikasi AI serta rumusan Edge AI untuk pasaran serantau.

 

Ia akan melaksanakan inisiatif AI Classrooms for Schools melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, sebagai langkah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap teknologi global khususnya dalam semikonduktor dan AI.- DagangNews.com