KUALA LUMPUR 24 Sept - Mahkamah Tinggi menolak saman yang difailkan pemegang konsesi makanan dan minuman Menara KL, Asian Kitchen (M) Sdn Bhd, terhadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan berhubung isu operasi menara ikonik itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, membenarkan permohonan Fahmi dan kerajaan untuk membatalkan saman tersebut atas alasan Asian Kitchen tidak mempunyai hak perundangan untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan perjanjian konsesi yang bukan melibatkan syarikat itu.
Selain itu, Raja Ahmad menyatakan,dakwaan Asian Kitchen mengenai kecuaian dalam tindakan awam (nonfeasance) tidak boleh dipertahankan kerana tiada kaitan langsung antara syarikat makanan dan minuman itu dengan Fahmi serta kerajaan.
“Dalam tindakan berhubung kecuaian, kewajipan untuk bertindak adalah perkara pokok. Berdasarkan sebab tindakan plaintif, (Fahmi dan kerajaan) tidak mempunyai kewajipan untuk melindungi kepentingan plaintif, jika wujud kepentingan sekalipun,” katanya, lapor The Edge.
Hakim turut menambah, unsur niat jahat (malice) perlu dibuktikan dalam kes sebegini. Namun, perkara itu tidak dapat dilakukan kerana tiada “hubungan undang-undang yang rapat” antara Asian Kitchen, Fahmi, dan kerajaan.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan kos sebanyak RM10,000 dibayar kepada menteri dan kerajaan.
Pada hari Rabu, mahkamah turut membenarkan permohonan Hydroshoppe Sdn Bhd, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, dan MKL Cuisine Sdn Bhd untuk membatalkan saman terhadap mereka.
Ketiga-tiga syarikat itu merupakan defendan pertama hingga ketiga dalam saman tersebut yang telah memfailkan permohonan berasingan untuk membatalkan tindakan undang-undang itu.
Raja Ahmad memutuskan, Asian Kitchen sudah mempunyai satu kes yang sedang berjalan di bahagian komersial mahkamah dan saman ini hanyalah “cermin” kepada kes tersebut, sekali gus menimbulkan risiko wujudnya penghakiman bercanggah oleh dua mahkamah serentak.
Kos sebanyak RM10,000 turut diperintahkan dibayar kepada ketiga-tiga defendan tersebut.
Asian Kitchen, pengendali restoran berputar Atmosphere 360 di puncak Menara Kuala Lumpur, telah memfailkan saman pada April 2025 terhadap Hydroshoppe Sdn Bhd, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, MKL Cuisine Sdn Bhd, Menteri Komunikasi serta kerajaan.
Dalam tuntutannya, Asian Kitchen mendakwa mengalami kerugian susulan siasatan terhadap Menara KL dan kejadian-kejadian selepas itu. Antara kerugian yang ditanggung termasuk kos perpindahan, penamatan kontrak pekerja serta pembatalan tempahan makan malam awal daripada pelanggan.
Syarikat itu turut mendakwa kerajaan sepatutnya memastikan pentadbiran Menara KL dijalankan secara sah, lebih-lebih lagi berikutan dakwaan rasuah. Ia juga berhujah, kerajaan mempunyai kewajipan untuk melindungi pihak berkepentingan seperti Asian Kitchen, yang mendakwa ia “berperanan penting dalam menarik” pengunjung ke restoran berputar menara tersebut.
Menara KL mula menjadi tumpuan sejak 2022 apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam penjualan Menara KL, yang ketika itu merupakan anak syarikat Telekom Malaysia Berhad, kepada Hydroshoppe pada Oktober 2022.
Sebelum itu, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd menguruskan operasi menara tersebut sehingga TM, pada Oktober 2021, memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi kerana tumpuan menara telah beralih daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada operasi berasaskan pelancongan dan hospitaliti.
Pada April 2023, Hydroshoppe dan pengarahnya, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, didakwa di mahkamah atas tuduhan menawarkan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, bagi mempercepatkan pengambilalihan konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe. Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan menuntut dibicarakan.
Sementara itu, pada Mac tahun ini, Lim Seong Hai Capital Berhad mengumumkan ia telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Kerajaan Persekutuan yang bermula pada 1 April 2025.
Konsesi tersebut diberikan kepada LSH Service Master Sdn Bhd, sebuah usaha sama antara anak syarikat milik penuh LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd. - DagangNews.com








