KUALA LUMPUR 5 Ogos - Mahkamah Rayuan pada 1 Ogos 2025 sebulat suara menolak permohonan bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif Malaysian Merchant Marine Berhad (MMM), Datuk Ramesh Rajaratnam untuk menyemak semula keputusan terdahulu yang telah diputuskan pada 6 Mei 2024.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata, panel Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz berpendapat, mahkamah tertinggi sentiasa berhati-hati dalam menggunakan kuasa untuk menyemak semula keputusan terdahulu, dan bahawa kuasa semakan oleh mahkamah hanya boleh digunakan dalam keadaan luar biasa.
Panel tersebut berkata, bahawa ambang tinggi bagi mendapatkan kebenaran untuk menyemak semula keputusan terdahulu Mahkamah Rayuan tidak dipenuhi dalam permohonan Ramesh.
Pada 6 Mei 2024, panel Mahkamah Rayuan sebelum ini yang terdiri daripada Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Wong Kian Kheong telah membenarkan rayuan SC dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membebaskan Ramesh daripada pertuduhan dagangan orang dalam.
Mahkamah Rayuan memutuskan, Mahkamah Tinggi telah tersilap apabila membebaskan Ramesh tanpa meneliti merit kes tersebut, dan oleh itu telah mengembalikan sabitan dan hukuman yang telah dikenakan oleh Mahkamah Sesyen serta mengarahkan agar kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar semula berdasarkan merit.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi batal saman sivil bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif Malaysian Merchant Marine ke atas SC
Ramesh pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 29 April 2015 atas tiga pertuduhan dagangan orang dalam di bawah Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Selepas perbicaraan penuh, beliau didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun serta denda RM3 juta (jika gagal, tiga tahun penjara) bagi setiap pertuduhan.
Ramesh kemudiannya membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dan telah diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Pada 20 Mei 2021, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid telah mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap Ramesh bagi ketiga-tiga pertuduhan, atas alasan bahawa hakim Mahkamah Sesyen telah melakukan peniruan kehakiman, tanpa mendengar merit kes tersebut.
SC, dengan keizinan Pendakwa Raya, telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap pembebasan tersebut bagi pertuduhan pertama sahaja. Pendengaran semula rayuan Ramesh berdasarkan merit telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi pada 20 Ogos 2025. - DagangNews.com








