Mahkamah Persekutuan tolak percubaan terakhir Prudential kuasai sepenuhnya operasi di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Persekutuan tolak percubaan terakhir Prudential kuasai sepenuhnya operasi di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak percubaan terakhir syarikat insurans multinasional, Prudential untuk mengambil alih sepenuhnya operasi tempatan mereka, sekali gus menamatkan pertikaian undang-undang yang berlarutan selama enam tahun.

 

Panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak semakan yang dimohon susulan keputusan oleh panel terdahulu, juga di Mahkamah Persekutuan, bahawa Detik Ria Sdn Bhd tidak mempunyai kewajipan untuk menjual pegangan 49% miliknya dalam Prudential Assurance Malaysia Bhd.

 

“Dalam keadaan ini, kami berpendapat kes ini bukanlah kes yang sesuai untuk disemak semula keputusan panel terdahulu. Sehubungan itu, permohonan semakan ditolak," kata Abang Iskandar, lapor The Edge.

 

 

 

 

 

Prudential, yang beribu pejabat di London dan Hong Kong, memfailkan permohonan semakan tersebut pada Mac 2025 selepas alasan penghakiman bertulis dikeluarkan, manakala Detik Ria memfailkan tuntutan pemulangan (dividen) mereka pada April lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

Selain mengekalkan kepentingan ekuiti mereka, keputusan Mahkamah Persekutuan pada Julai 2024 juga memutuskan, Detik Ria berhak menerima semua manfaat daripada pegangan 49% tersebut termasuk dividen, jika ada, dan pertikaian tersebut boleh diselesaikan selanjutnya di Mahkamah Tinggi.

 

Pegangan Detik Ria sebanyak 49% dalam Prudential Malaysia melalui Sri Han Suria Sdn Bhd manakala baki 50.99% dalam Prudential Malaysia dimiliki oleh Prudential, manakala 0.01% lagi dipegang oleh PCA IP Services Ltd.

 

Panel yang turut dianggotai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan, adalah dalam bidang kuasa panel terdahulu Mahkamah Persekutuan untuk meneliti perkara-perkara lain selain daripada isu-isu perundangan yang dibangkitkan.

 

Dalam permohonan semakan itu, Prudential membangkitkan isu berkaitan ketidaksahihan prosedur dan penafian keadilan berhubung keputusan pada Julai 2024, dengan mendakwa, panel terdahulu telah melampaui skop persoalan yang dikemukakan dan telah mempertimbangkan isu yang pada asalnya telah digugurkan oleh Detik Ria.

 

Barisan peguam Prudential diketuai oleh Datuk Dr Cyrus Das dan Datuk Bastian Vendargon.

 

Pihak Detik Ria yang diwakili oleh Tan Sri Tommy Thomas, Tey Jun Ren, Mervyn Lai dan Chuar Kia Lin menjawab, panel Mahkamah Persekutuan berhak untuk mengemukakan persoalan tambahan di luar isu yang telah dipersetujui kerana pihak-pihak juga dibenarkan untuk membuat penghujahan terhadap isu-isu yang dibangkitkan.

 

“Permohonan semakan ini tidak mempunyai sebarang merit dan tiada asas undang-undang yang membolehkan mereka melepasi ambang di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan,” tambah Thomas.

 

Abang Iskandar, yang juga Presiden Mahkamah Rayuan, menyatakan, panel terdahulu Mahkamah Persekutuan telah menjemput penghujahan daripada kedua-dua pihak empat bulan selepas pendengaran pertama rayuan pada Mac 2024.

 

Tiada ketidakadilan prosedur berlaku kerana setiap pihak telah diberi peluang untuk menjawab isu-isu yang dikemukakan oleh hakim Mahkamah Persekutuan yang mempunyai kuasa berbuat demikian, katanya semasa membacakan keputusan.

 

Mahkamah juga berhak untuk memerintahkan pemulangan (restitusi), yang menurutnya “masih merupakan isu yang belum selesai di Mahkamah Tinggi.” Katanya lagi,

 

“Kita sentiasa diingatkan bahawa di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan, perlu ada penyelesaian muktamad dalam kes-kes mahkamah dan kuasa untuk memberikan semakan kes perlu digunakan secara berhati-hati.”

 

Panel turut memerintahkan Prudential membayar kos sebanyak RM100,000 kepada Detik Ria.

 

Detik Ria dimiliki secara bersama oleh 10 entiti, masing-masing memegang pegangan sebanyak 10%, menurut semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). 

 

Entiti-entiti tersebut ialah: Berjaya Capital Bhd (anak syarikat milik penuh Berjaya Corp Bhd setakat 2 Oktober 2023), Ekuiti Spektrum Sdn Bhd, Seahouse Capital Sdn Bhd, Antara Merdeka Sdn Bhd, Pentas Sentral Sdn Bhd, Arah Juara Sdn Bhd, Cangkat Selasih Sdn Bhd, Persada Majestik Sdn Bhd, Serata Setia Sdn Bhd dan Gabungan Majestik Sdn Bhd.

 

Apabila kes ini mula dibawa ke mahkamah pada 2019, Detik Ria pada masa itu dimiliki secara sama rata oleh Tan Sri Abdul Rahim Din dan Tunku Datuk Seri Shahabuddin Tunku Besar Burhanuddin, menurut laporan The Edge berdasarkan maklumat hasil carian syarikat.

 

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya pada 2020, yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2022, memutuskan, tiada sebarang kesalahan dalam penguatkuasaan dua perjanjian opsyen jual dan beli yang dimeterai antara Prudential dan Detik Ria, yang sepatutnya membolehkan pemilikan saham 49% yang dipertikaikan itu dipindahkan kepada Prudential.

 

Namun dalam keputusan Julai 2024, Tan Sri Nalini Pathmanathan, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim (sebelum dilantik sebagai Hakim Besar Malaya) dan Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal (yang telah bersara) memutuskan, Seksyen 67 Akta Insurans 1996 yang kini dimansuhkan telah dilanggar apabila perjanjian yang ditandatangani oleh syarikat-syarikat pada 2002 dan 2009 dilaksanakan tanpa kelulusan Menteri Kewangan.

 

“Mahkamah sebelum ini telah tersilap dalam membuat keputusan yang mengiktiraf perjanjian-perjanjian tersebut walaupun ia dilaksanakan tanpa kelulusan menteri seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 67 Akta Insurans 1996. Ia juga tersilap apabila bergantung kepada kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM),” kata Nalini dalam keputusan lisan beliau.

 

Susulan keputusan itu, panel Julai juga memutuskan, Prudential perlu memulangkan sebarang manfaat yang diterima di bawah dua perjanjian tersebut, termasuk dividen yang dibayar oleh Sri Han Suria, manakala Detik Ria perlu memulangkan sejumlah lebih RM109.205 juta, iaitu bayaran sebahagian untuk pegangan 49% dalam Sri Han Suria, bersama faedah 5% - DagangNews.com