Mahkamah Persekutuan tetapkan semula perbicaraan rayuan MyCC terhadap Grab ke bulan Oktober | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Persekutuan tetapkan semula perbicaraan rayuan MyCC terhadap Grab ke bulan Oktober

KUALA LUMPUR 21 Julai - Mahkamah Persekutuan menetapkan semula perbicaraan permohonan rayuan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi membatalkan denda RM86.77 juta yang dikenakan ke atas Grab Holding Inc ke bulan Oktober ini.

 

Perbicaraan itu ditetapkan pada 14 Oktober ini selepas pengurusan kes yang diadakan minggu lalu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Husna Dzulkifly. 

 

Pada asalnya, perbicaraan dijadualkan bermula pada 29 Julai tetapi Peguam MyCC, Datuk V Sithambaram mengesahkan tarikh baharu perbicaraan ketika dihubungi The Edge.

 

Masih belum pasti sama ada kes itu akan ditangguhkan, memandangkan Mahkamah Persekutuan kini berdepan kekosongan jawatan susulan persaraan Ketua Hakim Negara ke-16, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

 

MyCC telah memfailkan notis rayuan pada 17 April lalu untuk memohon kebenaran merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan Mac, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung denda tersebut. 

 

Suruhanjaya itu mengemukakan lapan persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

 

Dalam kes sivil di Mahkamah Persekutuan, kebenaran perlu diperoleh daripada panel hakim sebelum merit rayuan didengar, berdasarkan persoalan undang-undang yang unik.

 

Pada tahun 2023, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, ketika itu hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memihak kepada Grab dan dua anak syarikatnya dalam semakan kehakiman berhubung cadangan pengenaan denda tersebut.

 

Beliau kini merupakan Ketua Hakim Negara yang baharu dilantik dan akan mengangkat sumpah jawatan lewat bulan ini.

 

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusannya, dengan memutuskan seharusnya terdapat pemberitahuan awal kepada Grab dan pihak lain untuk permintaan maklumat berdasarkan Seksyen 18 Akta Persaingan 2010 kerana siasatan mestilah berasaskan aduan daripada pihak ketiga.

 

Membacakan keputusan sebulat suara, Datuk Lim Chong Fong menyatakan, siasatan tersebut telah menafikan syarikat-syarikat berkenaan daripada mengetahui butiran aduan, manakala surat yang dikeluarkan suruhanjaya kepada responden disifatkan sebagai tidak jelas.

 

"Seksyen 35 hingga 40 Akta Persaingan tidak menyediakan mekanisme untuk mencabar keputusan cadangan bagi mengenakan denda, dan responden “berhak memfailkan remedi kehakiman kerana tiada remedi dalaman yang tersedia untuk mencabar keputusan cadangan tersebut.

 

“Oleh itu, mahkamah ini mendapati hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh dirayu sehingga memerlukan campur tangan mahkamah rayuan,” Chong Fong. - DagangNews.com