KUALA LUMPUR 21 Mei - Mahkamah Persekutuan menetapkan 29 Julai ini untuk mendengar permohonan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan pembatalan denda RM86.77 juta terhadap Grab Holdings Inc dan dua anak syarikatnya.
Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Husna Dzulkifly, hari ini.
MyCC memfailkan notis rayuan pada 17 April lalu dan mengemukakan lapan soalan undang-undang kepada mahkamah.
Bagaimanapun, MyCC perlu mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu sebelum rayuan penuh boleh diteruskan.
Difahamkan, permohonan tersebut akan didengar secara dalam talian.
Grab dan dua anak syarikatnya membantah permohonan tersebut dan menyatakan bahawa lapan soalan yang dibangkitkan bukan isu baharu.
"Firma guaman Tetuan Sitham & Associates kini mewakili MyCC, menggantikan firma guaman terdahulu, TetuanTommy Thomas," demikian menurut satu laporan The Edge.
Pada 19 Mac lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa MyCC cuai semasa menyiasat GrabCar Sdn Bhd dan MyTeksi Sdn Bhd pada tahun 2019.
Mahkamah mendapati terdapat kesilapan dari segi prosedur, di mana Grab tidak diberi peluang untuk mengetahui maklumat penuh mengenai aduan terhadap mereka.
Tindakan berkenaan melanggar prinsip keadilan.
Hakim Datuk Lim Chong Fong berkata, surat MyCC kepada Grab tidak jelas.
Beliau juga menjelaskan, Akta Persaingan 2010 tidak menyediakan cara untuk mencabar keputusan yang dicadangkan sebelum keputusan akhir dibuat.
Oleh itu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan MyCC dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan cadangan denda tersebut.
Sebelum ini pada 6 Julai 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman oleh Grab dan membatalkan keputusan cadangan denda itu kerana berlaku pelanggaran prosedur serta ketidakpatuhan terhadap prinsip keadilan.
Bagaimanapun, mahkamah tidak memberikan pampasan kepada Grab kerana tiada bukti menunjukkan MyCC bertindak dengan niat jahat.
MyCC kini menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan sama ada lapan soalan undang-undang yang dikemukakan layak untuk dibicarakan dalam rayuan penuh. - DagangNews.com








