MAHB kukuhkan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau dengan tujuh syarikat penerbangan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB kukuhkan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau dengan tujuh syarikat penerbangan baharu

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 19 Dis – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau apabila rangkaian lapangannya menarik penyertaan tujuh syarikat penerbangan baharu dengan pelancaran laluan antarabangsa dan serantau pada November dan Disember 2025.

 

Menurut MAHB, keyakinan syarikat penerbangan terhadap pasaran penerbangan negara dizahirkan melalui pembukaan laluan baharu termasuk Spring Airlines dari Shanghai ke Kuala Lumpur, diikuti Xiamen Airlines dari Hangzhou ke Kuala Lumpur. 

 

9 Air pula memulakan penerbangan yang menghubungkan Haikou ke Kuching dan Pulau Pinang, manakala Hong Kong Express melancarkan laluan baharu dari Hong Kong ke Kota Kinabalu.

 

Selain itu, TransNusa memulakan perkhidmatan dari Jakarta ke Pulau Pinang, Loong Air mengendalikan penerbangan sewaan dari Shenzhen ke Kuching, sementara Batik Air Malaysia memperluas rangkaiannya dengan perkhidmatan baharu yang menghubungkan Subang ke Singapura, Jakarta, Kuala Namu, Kansai, Langkawi dan Johor Bahru; Singapura ke Ipoh dan Pulau Pinang; serta laluan baharu dari Tashkent ke Langkawi.

 

MAHB berkata, penambahan laluan ini memperluas pilihan keterhubungan bagi pelancong perniagaan dan pelancongan, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pintu masuk strategik di Asia Tenggara.

 

Pertumbuhan rangkaian syarikat penerbangan itu turut dicerminkan dalam prestasi trafik penumpang. 

 

Pada November 2025, rangkaian lapangan terbang tempatan mencatatkan 8.7 juta pergerakan penumpang, merangkumi 4.7 juta penumpang antarabangsa dan 4.0 juta penumpang domestik. 

 

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 5.5 juta penumpang, meningkat 1% berbanding Oktober 2025. 

 

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG), jumlah pergerakan penumpang Kumpulan mencecah 12.9 juta bagi bulan tersebut.

 

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata kumpulan terus memberi tumpuan kepada peluasan keterhubungan udara di samping meningkatkan kecekapan operasi lapangan terbang bagi menghadapi permintaan perjalanan yang lebih tinggi.

 

“Ketika syarikat membuat persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia, kami bekerjasama rapat dengan rakan syarikat penerbangan untuk menyokong pengembangan rangkaian dan mengoptimumkan jadual penerbangan. Usaha ini turut merangkumi penambahbaikan kecekapan operasi dari hujung ke hujung di lapangan terbang.

 

“Pendekatan kolaboratif ini memastikan kapasiti, tahap perkhidmatan dan aliran penumpang selari dengan pertumbuhan, di samping menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

MAHB turut menjangkakan peningkatan ketara pergerakan penumpang susulan musim cuti sekolah dan perayaan yang bakal tiba. 

 

Penumpang dinasihatkan supaya tiba lebih awal bagi urusan daftar masuk, pemeriksaan keselamatan dan serahan bagasi, serta mematuhi tempoh kelonggaran 10 minit di kawasan hentian kenderaan.

 

Menurut MAHB, penumpang digalakkan menggunakan aplikasi MYAirports bagi mendapatkan maklumat penerbangan masa nyata dan navigasi lapangan terbang. Mereka juga disaran menyemak dokumen perjalanan serta keperluan visa sebelum berlepas.

 

Selain itu, penumpang boleh memuat turun aplikasi MyBorderPass bagi melancarkan urusan imigresen, di samping merancang lebih awal pengangkutan darat, kemudahan parkir dan proses menaiki pesawat memandangkan pergerakan dijangka lebih sibuk daripada kebiasaan. - DagangNews.com