MAHB anjur pertandingan rekaan batik korporat cungkil bakat muda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB anjur pertandingan rekaan batik korporat cungkil bakat muda

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menganjurkan pertandingan rekabentuk batik korporat, satu inisiatif yang menggabungkan warisan budaya Malaysia dengan profesionalisme moden, sebagai sebahagian daripada usaha memupuk bakat kreatif tempatan serta memperkukuh identiti korporat syarikat.

 

Pertandingan yang bertemakan “Batik dalam Perniagaan: Menenun Budaya ke Dalam Identiti Korporat Kita” itu turut dihadiri pelajar bidang fesyen dan reka bentuk dari seluruh negara untuk mentafsir semula pakaian korporat dengan motif batik.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Izani Ghani, inisiatif itu menekankan tanggungjawab Malaysia Airports bukan sahaja mengurus lapangan terbang, tetapi juga membentuk perspektif dunia terhadap negara.

 

“Batik adalah warisan, kebanggaan dan identiti kita. Cabaran ini memberi platform kepada generasi muda untuk mentafsir tradisi secara moden, sambil menonjolkan kreativiti mereka.

 

“Melalui pertandingan ini, Malaysia Airports bukan sahaja memelihara warisan budaya tetapi turut menyediakan platform kerjaya untuk pelajar, membolehkan mereka mendapat pendedahan industri dan peluang memulakan kerjaya dalam bidang fesyen dan reka bentuk,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

t

 

Program itu mencerminkan sinergi antara industri dan pendidikan, sekaligus menonjolkan potensi kreatif belia Malaysia, menggalakkan inovasi, serta memastikan tradisi budaya seperti batik terus menjadi sumber inspirasi generasi akan datang.

 

Setiap institusi menghantar tiga rekaan terbaik mereka dan 10 rekaan disenarai pendek berdasarkan kreativiti, kesesuaian jenama serta kebolehgunaan.

 

Semua finalis dijemput menghadiri Bengkel Imersif Rekaan di Sama-Sama Hotel yang dikendalikan oleh pakar fesyen terkenal, Hatta Dolmat bagi menambahbaik rekaan sebelum dipertontonkan pada pertunjukan fesyen akhir.

 

Panel hakim yang diketuai Hatta Dolmat memilih tiga pemenang utama yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 manakala rekaan pemenang berpeluang digunakan sebagai sebahagian daripada pakaian korporat Malaysia Airports.- DagangNews.com