KUALA LUMPUR 8 Okt – Mah Sing Group Berhad melancarkan galeri jualan M Zenni, pembangunan bercampur hak milik bebas yang terletak secara strategik di Batu Maung, berdekatan pintu masuk Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM309 juta ini menawarkan gabungan kemudahan bandar, ketenangan semula jadi dan ciri lestari kepada penduduk.
Sempena pelancaran galeri jualan, Mah Sing turut meraikan pemindahan pejabat Pulau Pinang ke ruang baharu seluas kira-kira 7,000 kaki persegi di Southbay Plaza bagi memudahkannya memberi perkhidmatan kepada pembeli rumah.
M Zenni menampilkan 10 unit lot kedai komersial dan sebuah menara pangsapuri servis setinggi 33 tingkat dengan 494 unit kediaman.
Tiga rekaan disediakan untuk pembeli iaitu studio / 1+1 bilik tidur berkeluasan 688 kaki persegi, tiga bilik tidur berkeluasan 958 kaki persegi dan empat bilik tidur berkeluasan 1,184 kaki persegi.
Harganya bermula daripada RM480,000, sesuai untuk pembeli rumah pertama, profesional dan keluarga muda.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, Pulau Pinang terus menjadi pasaran pertumbuhan strategik bagi syarikat pemaju hartanah itu.
“M Zenni adalah manifestasi visi syarikat untuk menyediakan rumah berkualiti dengan harga mampu milik, reka bentuk lestari dan fasiliti berfokuskan gaya hidup.
“Projek ini bukan sahaja memenuhi keperluan pemilik rumah, malah ia pelaburan nilai jangka panjang Batu Maung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hadir sama pada pembukaan galeri jualan M Zenni itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow; Pengarah Eksekutif Mah Sing, Datuk Steven Ng Poh Seng; Ketua Pegawai Eksekutif Subsidiari Hartanah Mah Sing, Yeoh Chee Beng, bersama pasukan pengurusan kanan syarikat.

Sementara itu, S Sundarajoo berkata, kerajaan negeri komited meningkatkan kualiti hidup penduduk termasuk menyediakan rumah mampu milik dan berkualiti.
“Projek Mah Sing seperti M Zenni menyokong visi Penang2030 serta pertumbuhan infrastruktur dan ekonomi negeri,” katanya.
M Zenni diinspirasikan daripada lanskap gunung dan konsep minimalis Jepun. Projek ini dijangka memperoleh pensijilan GreenRE Emas dengan ciri-ciri termasuk 14 stesen pengecas kenderaan elektrik, integrasi tenaga solar, orientasi Utara-Selatan untuk pencahayaan dan pengudaraan optimum, penggunaan bahan binaan lestari, sistem pengumpulan sisa automatik dan sistem pengumpulan air hujan.
Lokasi projek ini menawarkan aksesibiliti yang baik dengan jarak hanya 900 meter dari Jambatan Kedua Pulau Pinang, 4 kilometer dari Pulau Silikon Pulau Pinang dan bersebelahan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas.
Penduduk boleh menikmati perjalanan selama 20 minit ke Georgetown, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hanya 7 kilometer dari lokasi.
Projek ini turut menyediakan perkhidmatan van shuttle khas bagi penduduk ke Queensbay Mall, lapangan terbang dan stesen LRT berdekatan. - DagangNews.com








