KUALA LUMPUR 19 Ogos – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melantik Mah Sing Group Berhad sebagai pemaju utama bagi pembinaan jejambat baharu di persimpangan Jalan Tasik Kesuma dan Jalan Semenyih, Bandar Tasik Kesuma.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow berkata, jejambat sepanjang kira-kira tiga kilometer itu membabitkan kos anggaran keseluruhan RM52.5 juta dan akan diserahkan serta dimiliki MPKj selepas siap kelak.
“Projek tersebut turut merangkumi kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada dan persimpangan di sepanjang Jalan Semenyih.
“Pembinaan dijangka bermula pada awal 2026 dan disasarkan siap pada awal 2028,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mah Sing mewakili tiga anak syarikatnya iaitu Mestika Bistari Sdn Bhd, Grand Prestige Development Sdn Bhd dan Elite Park Development Sdn Bhd menandatangani perjanjian projek infrastruktur utama itu yang berlangsung di ibu pejabat MPKj baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata, syarikat komited menyediakan reka bentuk terbaik serta menyelaras dengan pihak berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
“Kami percaya inisiatif ini akan memberi manfaat positif kepada komuniti dan kawasan sekitar. Setelah siap kelak, jejambat baharu ini akan meningkatkan kelancaran aliran trafik, memendekkan masa perjalanan pengguna serta mempertingkat aksesibiliti untuk penduduk, perniagaan dan pelawat ke kawasan tersebut.
“Ia juga dijangka mengurangkan kesesakan sedia ada yang sering dihadapi pengguna jalan raya di laluan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPKj, Nazli Md Taib berkata, projek tersebut mula dirancang pada tahun 2018 sebagai persediaan menghadapi pertumbuhan penduduk di Semenyih.
“Tahun lalu, kami menilai semula pelan ini dan melantik Mah Sing sebagai pemaju utama untuk menggerakkan projek ini daripada peringkat reka bentuk hingga pelaksanaan.
“Kami menghargai komitmen Mah Sing dalam memajukan projek ini serta mengucapkan terima kasih kepada semua pemaju yang terlibat atas kerjasama dan kesediaan untuk berkongsi kos antara 11 pihak terlibat dalam menyediakan kemudahan infrastruktur kepada penduduk,” katanya.
Lokasi strategik jejambat baharu itu juga memberi nilai tambah kepada Mah Sing memandangkan ia terletak berhampiran M Legasi, projek perbandaran kediaman milik syarikat di Semenyih.
Peningkatan sambungan jalan raya serta pengurangan kesesakan bakal memberikan manfaat terus kepada para penduduk M Legasi. - DagangNews.com








