Mah Sing capai 68% kemajuan pembinaan M Nova, catat 3.5 juta jam kerja selamat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing capai 68% kemajuan pembinaan M Nova, catat 3.5 juta jam kerja selamat

Penyempurnaan struktur projek kediaman M Nova di Kepong, yang kini mencatat 68% kemajuan pembinaan mengukuhkan lagi kedudukan Mah Sing dalam sektor hartanah
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai – Mah Sing Group Bhd terus mengukuhkan rekod pencapaiannya dalam sektor hartanah menerusi penyempurnaan struktur projek kediaman M Nova di Kepong, yang kini mencatat 68% kemajuan pembinaannya.

 


Projek itu juga berjaya mencatatkan 3.5 juta jam kerja selamat tanpa sebarang insiden Kecederaan Hilang Masa (LTI), mencerminkan komitmen kumpulan itu terhadap pematuhan piawaian keselamatan dan amalan pembinaan lestari.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, projek pembangunan bercampur bernilai RM790 juta itu dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2026. 

 

Beliau berkata, M Nova merupakan projek ketiga Mah Sing di kawasan berkenaan selepas Lakeville Residence dan M Luna.

 

“Pencapaian ini mencerminkan permintaan kukuh terhadap rumah mampu milik di kawasan strategik seperti Kepong dan Selayang.

 

“Sambutan yang diterima sangat positif daripada pembeli berikutan reka bentuknya yang efisien dan lokasi strategik yang mudak diakses,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

test

 

M Nova menawarkan unit kediaman berkeluasan antara 700 hingga 1,000 kaki persegi dengan 11 unit komersial termasuk lot runcit dan pandu lalu yang praktikal.

 

Kemudahan lain termasuk lebih 20 fasiliti gaya hidup moden yang sihat seperti zon kecergasan, gelanggang sukan, ruang kerja bersama dan taman refleksologi.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hartanah Mah Sing, Yeoh Chee Beng pula berkata, projek itu dirangka untuk memenuhi keperluan keluarga muda dan pembeli rumah pertama yang mencari kediaman bernilai dengan akses mudah ke pusat bandar.

 

“Dengan sambungan ke MRR2, DUKE dan Jalan Kuching, serta kemudahan runcit dan pendidikan berhampiran, M Nova menawarkan keseimbangan antara aksesibiliti dan gaya hidup moden,” katanya.

 

Projek tersebut turut dianugerahkan pensijilan GreenRE Bronze sebagai pengiktirafan terhadap pelaksanaan ciri-ciri mesra alam seperti penggunaan panel solar, sistem tadahan air hujan dan pengudaraan silang.

 

Mah Sing berkata pihaknya akan terus mencari tanah strategik untuk memperluas lagi penawaran produk di bawah siri kediaman mampu milik M, selaras dengan hala tuju pembangunan bandar lestari.- DagangNews.com