Magma bersihkan rekod kewangan dengan pengurangan modal RM380 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Magma bersihkan rekod kewangan dengan pengurangan modal RM380 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Magma Group Bhd telah melaksanakan pengurangan modal berjumlah RM379.81 juta untuk membersihkan kerugian terkumpul dan memperkukuh kedudukan kewangannya bagi memacu projek pembangunan baharu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pelaksanaan pengurangan modal itu disahkan selepas salinan mahkamah bertutup diserahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Magma, yang sebelum ini dikenali sebagai Impiana Hotels Bhd, turut mengumumkan rancangan memperoleh sebidang tanah seluas 0.92 hektar di Persiaran Dutamas, Kuala Lumpur, daripada sebuah syarikat berkaitan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Lee Hock Seng, bagi pembangunan bercampur melibatkan apartmen servis dan ruang komersial.

 

Transaksi itu dikategorikan sebagai transaksi berkaitan pihak berkepentingan, memandangkan Hock Seng mengawal 44% pemilikan Skyload Sdn Bhd melalui Empire Solaris Sdn Bhd, manakala baki 45% dimiliki oleh bekas pemain badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei.

 

Sebelum ini, cadangan pengambilalihan lima lot tanah di Pulau Tioman bagi pembangunan resort tidak diteruskan selepas tamat tempoh syarat pra-perjanjian jual beli.

 

Dalam usaha memperluas pasaran, Magma turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat disenaraikan di Nasdaq, Chagee, bagi menembusi pasaran rangkaian teh premium Cina di Malaysia.

 

Langkah pengurangan modal itu dijangka memberi fleksibiliti kewangan kepada syarikat untuk melaksanakan pelan pertumbuhan dan projek baharu di masa hadapan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur. - DagangNews.com