Lotte Chemical Titan tandatangani kontrak tiga tahun beli naphtha dari Saudi Aramco | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lotte Chemical Titan tandatangani kontrak tiga tahun beli naphtha dari Saudi Aramco

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Mei - Lotte Chemical Titan Holding Bhd memeterai perjanjian selama tiga tahun dengan anak syarikat milik penuh gergasi tenaga Arab Saudi, Saudi Aramco, Aramco Trading Singapore Pte Ltd, bagi pembelian sehingga 400 kilotan (KT) naphtha setahun.

 

Syarikat berkata, perjanjian itu ditandatangani oleh anak syarikat milik penuh Lotte Chemical Titan, Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd, berkuat kuasa dari Julai 2025 hingga Jun 2028.

 

"Harga pembelian naphtha akan ditentukan mengikut harga pasaran semasa, dengan jumlah belian tahunan dianggarkan antara 300KT hingga 400KT," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Aramco Trading Singapore adalah pembekal utama bahan mentah naphtha kepada Lotte Chemical Titan dan telah lama menjadi rakan strategik syarikat tersebut.

 

Lotte Chemical Titan berkata, kontrak itu tidak akan memberi kesan kepada struktur modal atau pemilikan saham syarikat.

 

Sementara itu, syarikat berkenaan mencatatkan kerugian untuk suku kelapan berturut-turut, namun jumlah kerugian berjaya dikurangkan berbanding tahun lalu hasil margin keuntungan yang lebih baik dan sumbangan daripada syarikat sekutunya di Amerika Syarikat.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, syarikat rugi RM125.67 juta berbanding RM178.03 juta pada tempoh sama tahun lalu. 

 

Pendapatan juga turun 22.3% kepada RM1.49 bilion daripada RM1.92 bilion disumbangkan jumlah jualan dan harga jualan purata yang lebih rendah.

 

Prestasi yang lebih baik itu didorong oleh peningkatan jurang harga produk, susut nilai yang lebih rendah, serta keuntungan daripada pegangan 40% dalam Lotte Chemical USA.

 

Sementara itu, Saudi Aramco pula adalah syarikat tenaga dan kimia global yang menjalankan pelbagai operasi seperti pengeluaran minyak dan gas, penapisan, bahan kimia, pelincir, penjanaan elektrik dan perdagangan. - DagangNews.com