KUALA LUMPUR 7 Mei - Syarikat petrokimia, Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT) dijangka terus berdepan masalah kewangan dalam masa terdekat walaupun kerugian operasinya untuk suku pertama 2025 berkurang berbanding tahun lepas.
Menurut firma penyelidikan CIMB Securities, ia masih mengekalkan ramalan pendapatan LCT untuk tahun 2025 dan 2027 kerana syarikat dijangka sukar meningkatkan keuntungan akibat harga jualan produk yang masih rendah dan permintaan pasaran yang lemah.
Walaupun kos bahan mentah seperti naphtha kini lebih murah disebabkan harga minyak mentah yang rendah, ia masih belum cukup untuk memberi kesan besar kepada keuntungan LCT.
"Selain itu, pengenalan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) juga dijangka menjejaskan lagi perdagangan global, khususnya permintaan petrokimia dari pasaran eksport utama.
"Ini boleh menyebabkan kos bahan mentah dan logistik meningkat, sekali gus menyukarkan syarikat untuk pulih semula," katanya dalam satu nota kajian.
Oleh itu, CIMB Securities menurunkan harga sasaran saham LCT daripada 67 sen kepada 39 sen dan memberikan saranan "kurang".
Ia turut menjangka LCT akan terus rugi untuk tiga tahun akan datang kerana keadaan pasaran yang mencabar.
"Antara risiko utama yang dikenal pasti adalah kemungkinan syarikat diswastakan yang bermaksud positif atau mengalami kerugian yang lebih besar," jelasnya.
Sementara itu, TA Research berkata, Lotte Chemical Titan dijangka mempercepat peningkatan pengeluaran sehingga 2.2 juta tong sehari menjelang November 2025 berdasarkan maklumat terbaharu dari negara anggota OPEC+.
Katanya, keadaan tersebut akan memberi tekanan kepada harga minyak mentah, sekali gus mengurangkan kos bahan mentah, satu perkembangan positif buat LCT.
Namun, TA Research berkata, walaupun kos bahan mentah lebih murah dan pengeluaran dikurangkan, ia masih tidak cukup untuk menampung kos tetap dan operasi kerana keuntungan produk masih terlalu kecil.
Sehubungan itu, harga sasaran saham LCT diturunkan daripada RM0.64 kepada RM0.41.
TA Research juga mengekalkan saranan 'jual' kerana bimbang dengan masalah keuntungan jangka panjang dan peningkatan besar dalam nisbah hutang syarikat, iaitu 0.93 kali pada suku pertama 2025 berbanding 0.57 kali pada tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, CGS International Research turut menurunkan penarafan saham LCT kepada 'kurang' kerana menjangka harga produk petrokimia akan terus jatuh, seiring dengan penurunan harga bahan mentah, disebabkan prospek perdagangan global yang lemah.
Namun, ia berkata, ada peluang untuk pemulihan jika AS berjaya mencapai perjanjian perdagangan dengan negara lain, termasuk China.
"Jika tarif dikurangkan atau dimansuhkan, perdagangan dan pengeluaran boleh pulih semula, sekali gus membantu kenaikan harga produk petrokimia," jelasnya. - DagangNews.com








