L’Oréal Malaysia jana 21,609 pekerjaan, tingkatkan sosio-ekonomi negara sejak 30 tahun lalu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

L’Oréal Malaysia jana 21,609 pekerjaan, tingkatkan sosio-ekonomi negara sejak 30 tahun lalu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos L’Oréal Malaysia telah menyediakan sebanyak 21,609 peluang pekerjaan di seluruh negara sejak bertapak di Malaysia 30 tahun lalu.

 

Data itu adalah hasil kajian yang dijalankan oleh Asterès, sebuah firma penyelidikan ekonomi global, yang menilai impak sosio-ekonomi L’Oréal Malaysia menggunakan Model Impak Asterès (MIA).

 

Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia, Tomas Hruska berkata, kajian itu menunjukkan setiap pekerjaan di L’Oréal turut menyokong penciptaan lebih 36 pekerjaan tambahan dalam ekonomi negara yang sangat signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

“Menurut laporan itu, lebih 500 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah diintegrasikan ke dalam rantaian bekalan L’Oréal Malaysia.

 

“Selain sumbangan ekonomi, L’Oréal turut memberi manfaat kepada lebih 1,600 individu pada tahun 2023 melalui program pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan dan pemerkasaan komuniti, termasuk program Beauty for a Better Life, L’Oréal UNESCO For Women in Science, Latihan Hair Access, dan Program Penyumberan Solidariti,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Industri kecantikan merupakan antara sektor paling dinamik di dunia dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

 

Tambahnya, sepanjang tiga dekad di Malaysia, L’Oréal berbangga dengan sumbangan kepada penciptaan pekerjaan dan pembangunan sosial dan terus komited untuk terus berkembang bersama negara.

 

“L’Oréal Malaysia turut mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju industri melalui portfolio 30 jenama yang menjangkau 6.7 juta pengguna, disokong 47,508 gedung runcit, 1,300 salun, 2,399 farmasi, lapan platform e-dagang, serta pusat pengedaran strategik di Shah Alam, Selangor.

 

“Syarikat juga memiliki dua pusat kecemerlangan global bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penggunaan data di rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Utara,” katanya.

 

Ketika ini, L’Oréal Malaysia memiliki 72% tenaga kerja dan 62% kepimpinan kanan yang terdiri daripada wanita serta empat generasi, membuktikan komitmen L’Oréal terhadap pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif.

 

“Selain itu, L’Oréal Malaysia turut menyertai Malaysian Recycling Alliance (MAREA), mengintegrasikan lebih 500 PMKS ke dalam rantaian bekalan, sambil mengekalkan piawaian kualiti, alam sekitar dan etika,” katanya.

 

Dengan kehadiran yang meluas dan pelaburan dalam pembangunan bakat serta komuniti, L’Oréal Malaysia terus menyokong pertumbuhan ekonomi mampan, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, serta memacu inovasi dan kelestarian dalam industri kecantikan negara.- DagangNews.com