KUALA LUMPUR 6 Okt – Loji Janakuasa Batang Ai di Sarawak bakal mencipta sejarah sebagai loji pertama di Malaysia yang mampu menjana sehingga 170 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui gabungan sumber hidro dan solar.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kapasiti itu akan tercapai dengan siapnya projek ladang solar terapung pertama di Sarawak tidak lama lagi.
Katanya, penambahan tenaga daripada ladang solar terapung itu akan melengkapkan sistem penjanaan hidro sedia ada di Batang Ai, sekaligus meningkatkan kapasiti pengeluaran tenaga negeri.
“Kita akan tambah lagi 120 MW dengan 50 MW sedia ada, bermakna Batang Ai akan mengeluarkan 170 MW elektrik dan ini mungkin antara yang terbesar di Malaysia,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Loji Hidroelektrik Batang Ai di Lubok Antu hari ini.
Menurut Abang Zohari, kejayaan itu sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk meneroka lebih banyak sumber tenaga baharu dalam usaha mencapai sasaran pengeluaran 10 gigawatt tenaga menjelang tahun 2030.
Katanya, antara potensi yang sedang diteroka termasuk tenaga biojisim, selain penggunaan teknologi baharu seperti empangan melata dan reka bentuk turbin terkini yang mampu meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga.
“Pada masa hadapan akan ada teknologi lebih canggih yang mempercepatkan putaran turbin.
“Saya melihat reka bentuk baharu turbin yang boleh berpusing lebih pantas dan ini bermakna kita masih boleh meningkatkan pengeluaran tenaga hidro,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa pelabur kini menunjukkan minat untuk memperluaskan pelaksanaan projek solar di Sarawak termasuk Empangan Hidroelektrik Bakun dan Empangan Hidroelektrik Murum.
“Ia membuktikan keyakinan pelabur selepas kejayaan di Batang Ai terhadap potensi besar Sarawak dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Selepas ini, kita masih ada Empangan Bakun di mana sudah ada syarikat yang berminat untuk melabur dalam pengeluaran tenaga solar di sana.
“Saya belum dapat mendedahkan nama syarikat berkenaan, namun sudah ada rundingan awal untuk mengeluarkan tenaga solar di Bakun dan juga Murum malah setelah siapnya Empangan Baleh nanti juga sudah ada pihak yang berminat untuk melabur,” katanya. - DagangNews.com








