KUALA LUMPUR 20 Mei - Gas Malaysia menganggarkan stesen suntikan biometana berpusat yang baru dilancarkan di Kluang, Johor akan mula mencatatkan pulangan modal dalam tempoh antara tujuh hingga sembilan tahun, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Ahmad Hashimi Abdul Manap.
Beliau berkata, kemudahan itu akan mula beroperasi sepenuhnya pada separuh kedua 2025 dan berkemungkinan mencatatkan pulangan modal lebih awal daripada jangkaan sekiranya terdapat peningkatan jumlah bekalan daripada kilang-kilang kelapa sawit.
"Jika kita ada satu kawasan, sama ada pengusaha kilang individu dapat meningkatkan jumlah pengeluaran mereka atau kita ada beberapa pengusaha lain yang dapat bekerjasama, kita boleh membeli daripada mereka — ini akan memendekkan tempoh pulangan modal kami,” katanya kepada The Edge selepas pelancaran loji tersebut.
Stesen biometana di Kluang itu diterajui oleh Gas Malaysia Green Venture Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memacu pertumbuhan tenaga yang lebih bersih melalui penggunaan sisa bio daripada kilang kelapa sawit.
Stesen itu berfungsi dengan menerima sisa bio daripada kilang-kilang kelapa sawit di sekitarnya dan menawarkan rumusan berpusat untuk menyuntik biometana ke dalam grid gas asli miliknya. Gas ini kemudian dijual kepada pelanggan industri terpilih yang ingin memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Apabila mereka membeli (biometana), mereka juga akan memenuhi keperluan ESG mereka, terutamanya jika mereka merupakan syarikat multinasional yang mempunyai keperluan yang ketat.

“Sebagai contoh, awak beli 100 unit daripada saya, tetapi daripada 100 unit itu saya hanya boleh jual 10 unit gas hijau. Untuk itu, kami jual pada harga premium,” kata Ahmad Hashimi.
Usaha biometana ini dijalankan ketika Malaysia sedang berusaha membangunkan ekosistem biogasnya, disokong sisa bio daripada industri seperti kelapa sawit, di mana negara merupakan pengeluar kedua terbesar di dunia.
Namun, masih terdapat cabaran termasuk kekurangan peraturan untuk memastikan penggunaan sisa bio dalam negara, seperti tandan kosong kelapa sawit yang boleh dijual pada harga lebih tinggi kepada pembeli yang ingin menghasilkan produk lain seperti kertas, baik di dalam mahupun luar negara.
Menurut Ahmad Hashimi, Gas Malaysia kini bekerjasama dengan beberapa pengusaha kilang kelapa sawit, termasuk Kilang Sawit Tereh, dan mempunyai lebih 10 perjanjian tambahan dalam perancangan dengan pihak korporat dan swasta.
Syarikat itu menyasarkan untuk bekerjasama dengan 30 hingga 40 kilang dalam radius 200km dari Kluang bagi memastikan bekalan gas mentah yang stabil. Walaupun kumpulan itu enggan mendedahkan harga belian gas mentah daripada kilang-kilang tersebut, Ahmad Hashimi berkata "syarikat menawarkan terma yang kompetitif".
“Jika mereka menghasilkan lebih banyak, kami sedia menawarkan terma dan harga yang lebih baik. Kami adil dan adalah organisasi yang kukuh serta melakukan perkara ini untuk jangka panjang,” katanya.
Pada masa ini, Gas Malaysia juga sedang membangunkan loji biometana keempatnya di Ampang Jajar, yang dibiayai sebahagiannya melalui kemudahan pembiayaan hijau sebanyak RM150 juta yang diperoleh daripada AMMB Holdings Bhd.
Ahmad Hashimi berkata, “kemudahan yang akan datang ini akan berskala besar” dan berupaya meningkatkan pengeluaran di lokasi yang sama sehingga tujuh kali ganda.
“Anda tidak perlu melabur kerana kami akan melakukannya. Jika pengusaha kilang perlu melabur antara RM20 juta hingga RM25 juta, saya rasa tempoh pulang modal boleh mencecah antara 10 hingga 11 tahun. Jadi, kami sediakan model perniagaan yang sesuai, terutamanya untuk pengusaha kilang yang tidak mampu untuk melabur,” jelasnya.
Ahmad Hashimi berkata, rangkaian paip kumpulan yang luas sepanjang 2,900km di seluruh Semenanjung Malaysia memberikan kelebihan strategik dalam pengangkutan dan penyuntikan biometana ke dalam grid gas asli.- DagangNews.com








