Lima syarikat telekomunikasi lancar Number Verification API lindungi perniagaan, banteras penipuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lima syarikat telekomunikasi lancar Number Verification API lindungi perniagaan, banteras penipuan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept – Lima syarikat telekomunikasi utama negara iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications melancarkan ‘Number Verification API’ iaitu perkhidmatan rangkaian baharu bagi membantu perniagaan dalam talian membanteras penipuan serta kecurian identiti digital.

 

Pelancaran yang berlangsung di Sidang Kemuncak Negara Digital itu ialah sebahagian daripada inisiatif global GSMA Open Gateway, yang menyaksikan operator mudah alih seluruh dunia bekerjasama menyediakan akses standard kepada fungsi rangkaian pintar dengan lebih selamat.

 

Perkhidmatan berasaskan API ini membolehkan bank, perniagaan dalam talian dan pembangun aplikasi mengesahkan identiti pelanggan tanpa perlu bergantung kepada SMS OTP (One-Time Password) yang semakin mudah dipintas penipu. 

 

Sebaliknya, nombor mudah alih pelanggan akan dipadankan secara langsung dengan data rangkaian masa nyata bagi memastikan pengesahan lebih selamat dan lancar.

 

Inovasi ini dijangka menjadi pengganti SMS OTP yang akan memperkukuh keyakinan pengguna terhadap ekosistem digital negara, melindungi daripada penipuan dalam talian serta meningkatkan kepuasan untuk perkhidmatan pelanggan.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, kerjasama industri itu adalah pencapaian teknologi penting ke arah membina ekosistem digital yang lebih selamat dan inklusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi digital serantau.

 

“Ini akan melindungi rakyat Malaysia daripada penipuan dan merangsang inovasi di seluruh ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan bersama syarikat telekomunikasi yang lain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng pula menegaskan Maxis sebagai penyokong awal GSMA Open Gateway telah memacu penggunaan API telekomunikasi di Malaysia, antaranya melalui Mobile Identity untuk perusahaan tempatan serta kerjasama serantau dengan Thailand dan Singapura. 

 

“Komitmen ini akan mempercepat inovasi berasaskan API untuk Malaysia demi ekosistem digital yang lebih selamat,” katanya.

 

Ketua Pegawai Maklumat U Mobile, Neil Tomkinson pula berkata, mereka adalah syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang melancarkan portal pembangun Open Gateway dengan dua API bertauliah GSMA.

 

“Kini, kami turut menyertai pelancaran Number Verification API bersama rakan industry yang lain.

 

“Penglibatan pelbagai pihak, perkongsian maklumat dan penguatkuasaan polisi strategik adalah kunci membanteras penipuan digital,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris menegaskan pihaknya komited memastikan pengalaman yang selamat dan lancar untuk pemilik perniagaan tempatan serta pelanggan global melalui rangkaian teras mudah alihnya. 

 

Menurutnya, kerjasama ini selaras dengan aspirasi TM menyediakan solusi digital yang dipercayai, berdaulat dan selamat untuk melindungi perniagaan dan pengguna.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee pula berkata, penyertaan dalam GSMA Open Gateway seiring dengan pelaburan syarikat dalam infrastruktur Awan AI serta pembangunan LLM berdaulat pertama Malaysia, ILMU, yang menggerakkan Ryt, bank digital AI. 

 

“Usaha ini akan mempercepat pertumbuhan ekosistem digital yang inklusif, selamat dan berasaskan inovasi,” katanya.

 

Ketua Asia Pasifik GSMA, Julian Gorman menyifatkan langkah itu sebagai pencapaian penting memandangkan penipuan dalam talian semakin membimbangkan di rantau ASEAN dan boleh menghakis keyakinan terhadap ekonomi digital jika tidak ditangani segera.

 

“Inisiatif Malaysia ini adalah sebahagian daripada program global GSMA Open Gateway yang kini melibatkan lebih 79 kumpulan pengendali mudah alih dengan 291 rangkaian, merangkumi hampir 80 peratus sambungan mudah alih di seluruh dunia.

 

“Melalui sumber terbuka CAMARA oleh Linux Foundation, perkhidmatan API ini akan membolehkan syarikat membangunkan produk digital yang boleh beroperasi merentas pasaran dan pengendali tanpa halangan, sekali gus memperkukuh integrasi digital serantau,” katanya.- DagangNews.com