Life Water labur RM19 juta tingkatkan pengeluaran air 626 juta liter setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Life Water labur RM19 juta tingkatkan pengeluaran air 626 juta liter setahun

Gambar/X Miti Malaysia
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pengeluar air botol tempatan, Life Water Bhd, akan meningkatkan pengeluaran tahunan kepada 626 juta liter setahun berbanding 448 juta liter sekarang, selepas syarikat menambah satu lagi barisan pembuatan bernilai RM19 juta.

 

Pengarah Urusan Life Water, Liaw Hen Kong berkata, naik taraf di Loji Sandakan Sibuga 1 itu adalah sebahagian daripada strategi pengembangan yang dinyatakan dalam prospektus tawaran awam permulaan (IPO) syarikat.

 

"Barisan pengeluaran baharu ini akan mula beroperasi pada separuh kedua 2025.

 

"Ia bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan air minuman syarikat sebanyak 178 juta liter lagi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurutnya, rancangan penambahbaikan tersebut bukan sahaja menyokong pelan pertumbuhan syarikat, malah direka dengan fokus terhadap kelestarian dan kecekapan.

 

Beliau berkata, projek berkenaan juga menunjukkan komitmen syarikat dalam mengamalkan piawaian Industri 4.0 sambil terus menyediakan air minuman berkualiti kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

 

"Selaras dengan amalan Industri 4.0, barisan pengeluaran baharu ini akan dilengkapi dengan sistem automatik bagi meningkatkan kecekapan operasi.

 

"Dengan sistem kawalan pintar dan teknologi cekap tenaga, syarikat menjangkakan penjimatan besar dalam penggunaan utiliti, iaitu sebanyak 29,700 tan air dan 215,424 kWh tenaga setiap tahun," jelasnya.

 

Tambah Hen Kong, barisan pengeluaran baharu itu juga akan membantu syarikat mengurangkan berat botol, sekali gus meminimumkan penggunaan plastik dan pelepasan karbon semasa proses pembuatan dan pengedaran.

 

"Ia adalah sebahagian daripada strategi kami untuk berkembang secara bertanggungjawab dan membantu mencipta masa depan yang lebih cekap dan rendah karbon," ujarnya. - DagangNews.com