Lianson Fleet jual kapal Icon Samudera berharga RM28.13 juta kepada Asia Investment and Asset Management | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lianson Fleet jual kapal Icon Samudera berharga RM28.13 juta kepada Asia Investment and Asset Management

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Lianson Fleet Group Berhad menerusi Icon Samudera (L) Inc memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) dengan syarikat maritim yang berpangkalan di Vietnam, Asia Investment and Asset Management Joint Stock Company bagi penjualan kapal Icon Samudera berharga RM28.13 juta.

 

Kumpulan itu berkata, Icon Samudera merupakan kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) DP-1 yang dibina pada 2013 seberat 1,374 tan dan mampu mencapai daya tarikan statik sebanyak 60.4 tan. 

 

Katanya, kapal itu telah diperoleh pada Mac 2013 dengan kos RM46.1 juta, dan nilai bawaan bersihnya setakat 31 Julai 2025 adalah RM18.1 juta.

 

"Pelupusan kapal ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan untuk memperbaharui armadanya bagi memodenkan dan menggantikan kapal sedia ada selaras dengan permintaan pasaran industri minyak dan gas yang sentiasa berkembang. 

 

"Ia juga sejajar dengan usaha penjenamaan semula dan strategi jangka panjang Lianson Fleet bagi meluaskan portfolionya daripada hanya pemain kapal sokongan luar pesisir (OSV) kepada kelas aset kapal lain, menyokong langkah pengembangan ke pasaran baharu serta mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang dan fleksibiliti operasi syarikat.

 

"Hasil pelupusan kapal ini akan digunakan untuk tujuan korporat am serta menyokong pertumbuhan masa depan dan inisiatif strategik kumpulan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pelupusan kapal itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama Lianson Fleet. 

 

Keuntungan penjualan itu dianggarkan kira-kira RM10 juta (selepas ditolak kos berkaitan) dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, aset bersih dan kedudukan hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

"Tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka, penjualan kapal ini dijangka selesai menjelang akhir Oktober 2025," katanya.- DagangNews.com