KUALA LUMPUR 4 April - Lianson Fleet Group Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Icon Offshore Bhd menerusi Icon Azra (L) Inc memeterai perjanjian bersama P&O Maritime Offshore AHTSV FZE bagi pelupusan kapal Icon Azra berharga RM30.73 juta.
Pelupusan kapal itu adalah sebahagian daripada usaha memodenkan barisan kapalnya sejajar dengan permintaan pasaran industri minyak dan gas (O&G) yang semakin berkembang.
Pelupusan itu melibatkan kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) DP-1 yang dibina pada 2013 seberat 1,374 tan dan mampu menarik tonggak statik sebanyak 65 tan.
Kapal itu diperoleh pada Jun 2013 dengan kos RM49.26 juta, dan nilai bawaan bersihnya pada 31 Mac 2025 ialah RM21.8 juta.
"Keputusan pelupusan itu juga sejajar dengan penjenamaan semula dan strategi jangka panjang bagi mempelbagaikan daripada menjadi pemain kapal sokongan luar pesisir (OSV) kepada kelas aset kapal lain, menyokong ke arah pasaran baharu dan mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang dan fleksibiliti operasi kami," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, hasil daripada pelupusan itu akan digunakan untuk tujuan korporat am dan menyokong pertumbuhan masa depan dan inisiatif strategik Lianson Fleet Group.
Katanya, cadangan pelupusan tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan atau pegangan saham kumpulan.
"Anggaran keuntungan daripada pelupusan (tolak kos berkaitan) bagi pelupusan itu sebanyak RM8.01 juta dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, aset bersih dan penggearan Lianson Fleet Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025," katanya.
Melainkan keadaan yang tidak dijangka, pelupusan itu dijangka siap pada penghujung April 2025.- DagangNews.com







