Lianson Fleet beli 2 kapal pengangkut pukal berharga RM115.1 juta daripada syarikat Korea Selatan, HMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lianson Fleet beli 2 kapal pengangkut pukal berharga RM115.1 juta daripada syarikat Korea Selatan, HMM

Gambar: ShipSpotting.com
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Lianson Fleet Group Berhad (LFG) menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Melisar Corporation Pte Ltd dan Gimsar Corporation Pte Ltd memeterai dua memorandum perjanjian (MOA) dengan HMM Co Ltd dari Korea Selatan bagi mendapatkan kapal pengangkut pukal MV Pacific Ace dan MV Pacific Pride dengan pertimbangan tunai RM115.1 juta.

 

Pembelian terbaharu itu menyusuli pengambilalihan MV Moana BAQ pada Ogos 2025.

 

Semua tiga pembelian tersebut dijangka selesai menjelang akhir Oktober 2025 dan akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman serta pembiayaan bank.

 

Selepas pembelian itu disempurnakan, armada pengangkutan marin kumpulan akan bertambah kepada 39 kapal – merangkumi 17 bot, 17 kapal tunda dan lima kapal pengangkut pukal.

 

Langkah ini sejajar dengan objektif strategik LFG untuk mempelbagaikan perniagaan di luar segmen kapal sokongan luar pesisir (OSV) serta mengukuhkan aliran pendapatan berulang.

 

Pengerusi Eksekutif LFG, Lim Chern Wooi berkata, pihaknya sangat teruja untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan pertumbuhan kumpulan selepas berjaya berkembang melangkaui status sebagai pengendali OSV semata-mata. 

 

Katanya, cadangan pembelian itu adalah satu langkah penting untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam sektor pengangkutan marin dan meneroka peluang baharu di seluruh Asia Tenggara.

 

“Dengan permintaan kukuh bagi perdagangan maritim yang dipacu oleh aliran kargo pukal dan komoditi serantau, kami berada pada kedudukan baik untuk mempercepatkan pertumbuhan. 

 

"Pengembangan ini juga akan meningkatkan keterlihatan pendapatan melalui pajakan jangka panjang serta memperkukuh aliran pendapatan berulang kami," katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com