LIAM minta kerajaan beri pelepasan cukai insurans lebih tinggi dalam Belanjawan 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LIAM minta kerajaan beri pelepasan cukai insurans lebih tinggi dalam Belanjawan 2026

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Okt - Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) meminta kerajaan menaikkan jumlah pelepasan cukai gabungan bagi insurans pendidikan, perubatan dan kesihatan daripada RM4,000 kepada RM6,000 dalam Belanjawan 2026 akan datang.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark O’Dell berkata, had pelepasan cukai sedia ada sebanyak RM4,000 bagi premium insurans perubatan dan pendidikan kini tidak lagi mencukupi, memandangkan kos penjagaan kesihatan dan perlindungan insurans meningkat lebih cepat daripada pertumbuhan pendapatan rakyat.

 

“Sebagai contoh, premium insurans perubatan bagi sebuah keluarga dengan dua orang dewasa dan tiga anak kini melebihi RM3,000 setahun untuk pelan asas.

 

"Ini bermaksud tiada lebihan untuk membayar premium polisi pendidikan bagi ketiga-tiga anak mereka, menjadikan jumlah pelepasan sedia ada tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut O’Dell, demi kepentingan perlindungan kesihatan untuk rakyat Malaysia, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menaikkan had pelepasan cukai itu kepada RM6,000.

 

Beliau berkata, pelarasan itu akan membantu mengurangkan tekanan kewangan akibat peningkatan kos rawatan kesihatan serta menggalakkan lebih ramai pembayar cukai membuat perancangan jangka panjang untuk penjagaan kesihatan mereka.

 

“Peningkatan ini juga penting untuk mengurangkan beban pembayar cukai, di samping memupuk ketahanan kewangan dan perlindungan kesihatan yang lebih baik dalam kalangan isi rumah di Malaysia,” katanya.

 

Dalam pada itu, O’Dell berkata, LIAM turut mencadangkan agar kerajaan mengecualikan cukai perkhidmatan sebanyak 8% yang dikenakan ke atas skim insurans pekerja secara berkumpulan.

 

Menurut persatuan itu, berdasarkan statistik rasmi, kurang separuh daripada tenaga kerja Malaysia kini dilindungi di bawah skim insurans kumpulan.

 

“Jurang ini amat membimbangkan, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah seperti B40, yang mungkin tidak mampu memiliki polisi insurans individu,” katanya.

 

Beliau berkata, pengecualian cukai perkhidmatan itu akan menggalakkan lebih banyak majikan menawarkan manfaat insurans kumpulan, terutama kepada pekerja yang tidak mampu membeli polisi peribadi.

 

Langkah itu juga dijangka mengurangkan kos operasi perniagaan serta meringankan beban sistem kesihatan awam.

 

O’Dell berkata, industri insurans hayat memainkan peranan penting dalam kesejahteraan rakyat melalui perlindungan kewangan, pembiayaan penjagaan kesihatan dan simpanan jangka panjang.

 

“Dengan dasar dan insentif yang tepat, sektor swasta mampu menjadi pelengkap kepada kerajaan dalam menanggung kos sosioekonomi bagi melindungi rakyat,” katanya.

 

Beliau berkata, LIAM percaya pelaksanaan kedua-dua cadangan itu dalam Belanjawan 2026 akan meningkatkan keterangkuman kewangan, memperluas kadar penembusan insurans dan menyumbang kepada ekonomi yang lebih mampan serta berdaya tahan untuk Malaysia. - DagangNews.com