KUALA LUMPUR 22 Dis – Lendlease memperoleh rakan modal baharu bagi pembangunan bersepadu The Exchange TRX apabila sebuah pejabat keluarga tempatan mengambil alih pegangan bernilai RM1.1 bilion dalam komponen runcit dan pejabat projek berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, Lendlease memaklumkan transaksi itu melibatkan pengambilalihan 40% kepentingan dalam pusat beli-belah The Exchange TRX serta keseluruhan 60% pegangan dalam aset pejabat di dalam pembangunan tersebut.
Urus niaga berkenaan merupakan sebahagian daripada program kitar semula modal Lendlease dan mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin kukuh terhadap prestasi serta potensi jangka panjang kawasan Tun Razak Exchange (TRX).
Selepas transaksi itu, Lendlease akan mengekalkan 20% kepentingan dalam pusat beli-belah runcit dan terus menyediakan perkhidmatan pengurusan aset dan hartanah.
Kumpulan itu juga mengekalkan 60% pegangan dalam plot kediaman serta hotel yang telah siap di dalam kawasan berkenaan.
Transaksi tersebut dijangka selesai pada separuh kedua FY2026, tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu.
The Exchange TRX yang dibuka pada 2023 mencatatkan prestasi kukuh dengan merekodkan jualan sebanyak RM2.64 bilion dan menarik 45 juta pengunjung dalam tahun pertama operasinya.
Antara penyewa utama termasuk kedai runcit Apple pertama di Malaysia, selain kemunculan sulung jenama antarabangsa seperti Gentle Monster, Alo Yoga dan Molton Brown.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Pelaburan Lendlease, Justin Gabbani berkata, prestasi memberangsangkan The Exchange TRX membuktikan kualiti dan daya tarikan pembangunan itu.
“Prestasi kukuh The Exchange TRX menyerlahkan kualiti dan daya tarikan kawasan ini dan kemasukan rakan tempatan yang mantap merupakan pengiktirafan jelas terhadap kejayaan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, pengumuman itu turut mengukuhkan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang TRX serta kualiti aset yang dibangunkan oleh Lendlease.
“Dengan menggabungkan kepakaran sektor kami dan pelaburan tempatan, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan momentum ini serta menjana nilai yang lebih besar kepada pelanggan dan rakan strategik,” tambahnya.
Sementara itu, JLL, yang bertindak sebagai penasihat urus niaga, menyifatkan TRX sebagai alamat pasaran bertaraf peneraju.
Ketua Pegawai Eksekutif Pasaran Modal Asia Pasifik JLL, Stuart Crow berkata, permintaan pelabur kekal kukuh terhadap aset guna campuran berkualiti tinggi yang mampu menjana aliran pendapatan pelbagai.
“The Exchange TRX telah membentuk semula latar langit Kuala Lumpur dan kini kukuh sebagai destinasi runcit, komersial dan hiburan utama di ibu negara,” katanya sambil menambah kedudukan itu disokong oleh skala, kualiti serta lokasi strategiknya dalam kawasan TRX. - DagangNews.com








