Lencana PropertyGuru Verified bantu pencari hartanah kenal pasti ejen dan perunding berlesen dengan cepat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lencana PropertyGuru Verified bantu pencari hartanah kenal pasti ejen dan perunding berlesen dengan cepat

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Ogos – PropertyGuru Malaysia, pasaran hartanah terkemuka negara melancarkan Lencana PropertyGuru Verified untuk membantu pencari hartanah mengenal pasti ejen dan perunding yang berlesen dengan cepat dan selamat.

 

Inisiatif baharu itu diwujudkan dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Ejen Harta Tanah Malaysia (MIEA) dan Persatuan Institut Ejen dan Konsultan Hartanah Malaysia (IMPAC).

 

Pengurus Negara Malaysia PropertyGuru & iProperty, Kenneth Soh berkata, pembelian atau penyewaan rumah merupakan komitmen kewangan besar dan keputusan itu mesti bermula dengan kepercayaan dan transaksi yang telus.

 

“Walaupun urus niaga hartanah berlaku di luar platform kami, Lencana PropertyGuru Verified menetapkan piawaian keselamatan yang lebih tinggi, membantu pencari hartanah mengenal pasti ejen dan perunding berlesen yang mengekalkan ketelusan tinggi.

 

“Ia lebih daripada sekadar menghubungkan bakal pembeli dengan hartanah, sebaliknya ia turut melindungi pengguna daripada penipuan dan memperkukuh keyakinan terhadap industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Berdasarkan rekod Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta Tanah (LPPEH), terdapat lebih 1,500 kes mangsa penipuan akibat perbuatan individu yang tidak mempunyai lesen mengakibatkan kerugian hampir RM60 juta antara tahun 2019 hingga 2023.

 

Selain itu, masih ramai rakyat Malaysia kurang memahami pengesahan kelayakan profesional hartanah.

 

test

 

Inisiatif yang dibuat PropertyGuru itu dapat menangani jurang tersebut dengan memudahkan pengguna mengenal pasti profesional hartanah yang berlesen serta dipercayai terus di platform tersebut.

 

Lencana Verified itu dianugerahkan kepada Perunding Hartanah Berdaftar (REN), Ejen Harta Tanah (REA) dan Ejen Harta Tanah Percubaan (PEA) yang memiliki lesen aktif LPPEH dan telah melengkapkan proses pengesahan selamat PropertyGuru.

 

Ia termasuk pengesahan identiti melalui eKYC, butiran lesen profesional, maklumat hubungan berdaftar dan pengakuan terhadap terma lencana.

 

Setelah selesai, lencana ini dipaparkan pada profil ejen, penyenaraian hartanah dan hasil carian untuk memudahkan pengguna berurusan dengan professional yang sah.

 

Tambahnya, bagi profesional hartanah, status pengesahan itu meningkatkan kredibiliti di mata bakal pelanggan, memperkukuh penjenamaan peribadi dan memberi kelebihan melalui penapis carian khusus untuk status Verified.

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Mohd Razali Mohd Idrus berkata, penipuan melibatkan penyamaran ejen tidak berlesen semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

 

“Lencana PropertyGuru Verified adalah langkah tepat untuk memperkasakan pengguna, membendung aktiviti penipuan, dan melindungi orang awam,” katanya. - DagangNews.com