KUALA LUMPUR 7 April - Lebih banyak kawasan akan mengalami gangguan bekalan gas susulan kekangan operasi berterusan berpunca daripada insiden letupan paip gas di Putera Heights, baru-baru ini, kata Gas Malaysia Bhd.
Syarikat milik Kumpulan MMC itu berkata, tempoh gangguan yang diumumkan sebelum ini dijangka berlanjutan sehingga 20 April 2025 masih kekal, namun notis baharu daripada pembekal gas menunjukkan kawasan dan pelanggan tambahan kini akan turut terjejas.
Gangguan bekalan yang pada awalnya hanya melibatkan kawasan secara langsung berkait dengan kejadian Putra Heights pada 1 April lalu, kini diperluaskan meliputi kawasan Merbau, Tronoh, Perai, Junjung dan Hutan Melintang.
Gas Malaysia memberi jaminan bahawa pihaknya telah meningkatkan usaha koordinasi bersama pelanggan terjejas dan pembekal gas bagi menguruskan situasi ini dengan lebih berkesan. Syarikat itu juga menegaskan komitmennya untuk memberikan sokongan dan maklumat terkini kepada semua pihak yang mengalami gangguan perkhidmatan.
"Mengurangkan impak terhadap pelanggan, memastikan keselamatan awam, dan mengekalkan integriti perkhidmatan adalah keutamaan utama Gas Malaysia sepanjang tempoh ini.
"Gas Malaysia amat menghargai kefahaman dan kerjasama berterusan daripada semua pelanggan dan pihak berkepentingan semasa syarikat mengharungi cabaran sementara ini.
"Maklumat terkini akan dikemas kini di laman web rasmi kami di www.gasmalaysia.com apabila maklumat baharu tersedia," katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com








