Lebih 80% pembayar cukai berpuas hati dengan LHDN, syor beberapa penambahbaikan - KPMG | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 80% pembayar cukai berpuas hati dengan LHDN, syor beberapa penambahbaikan - KPMG

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos – KPMG Malaysia memuji Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas langkah proaktifnya dalam menggalakkan pematuhan cukai yang adil dan berterusan, sejajar dengan inisiatif penguatkuasaan cukai nasional.

 

Ketua Bahagian Cukai KPMG Malaysia, Soh Lian Seng berkata, langkah intervensi awal yang diambil, termasuk menumpukan perhatian kepada pembayar cukai yang berisiko kurang melaporkan pendapatan, telah membantu menutup jurang pematuhan cukai.

 

“Sebagai contoh, seramai 5,800 pembayar cukai yang sebelum ini dikenalpasti tidak membuat penyerahan telah tampil dan menyumbang RM82 juta kepada hasil cukai tambahan.

 

“Selain meningkatkan hasil, langkah itu juga bertujuan memperkukuh integriti sistem percukaian, memastikan pematuhan yang telus dan adil untuk rakyat,” katanya.

 

Beliau turut mengakui LHDN telah mencapai kemajuan ketara dalam usaha pendigitalannya, dengan memperkenalkan perkhidmatan e-Services yang dipertingkatkan bagi menangani masalah yang dihadapi pembayar cukai.

 

“Perkhidmatan itu telah memudahkan pembayar cukai menunaikan tanggungjawab mereka serta menyokong operasi perniagaan yang lebih cekap,” katanya.

 

Terdahulu, KPMG bersama Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM) telah menjalankan tinjauan ke atas 198 organisasi termasuk syarikat besar dan PKS dari 1 hingga 19 Julai 2025.

 

Hasil tinjuan tersebut telah diumumkan oleh Lian Seng yang bertindak sebagai moderator semasa Persidangan Cukai Kebangsaan ke-25.

 

Beliau yang juga Presiden CTIM berkata, antara penemuan yang didapati dari hasil tinjauan tersebut ialah lebih 80% responden menyatakan mereka berpuas hati terhadap prestasi audit dan siasatan LHDN.

 

“Namun, ada yang menzahirkan kebimbangan tentang konsistensi dan kesesuaian dalam kes tertentu.

 

“Sebanyak 88% responden menyatakan mereka tahu mengenai garis panduan serta ketetapan umum LHDN. Namun, terdapat permintaan agar panduan lebih praktikal, tepat dan menyeluruh diberikan,” katanya.

 

Tinjauan dilakukan turut meliputi aspek perkhidmatan digital yang kebanyakannya digunakan oleh pemilik perniagaan seperti e-PCB Plus, e-Ansuran, Sistem Pelaporan Cukai Pendapatan Malaysia (MITRS), e-Sekatan Perjalanan, e-Janji Temu, dan HASiL Live Chat.

 

Beliau berkata, lebih 50% pengguna menilai platform tersebut sebagai baik atau cemerlang.

 

“Namun, responden turut menekankan aspek penambahbaikan seperti kestabilan sistem, pengalaman pengguna, sokongan pelanggan dan aksesibiliti.

 

“Hasil tinjauan KPMG dan CTIM ini memberikan pandangan penting terhadap usaha reformasi cukai Malaysia secara menyeluruh, bukan sahaja dalam aspek pematuhan, tetapi juga penambahbaikan sistem yang menggalakkan keadilan dan ketelusan untuk rakyat.

 

“Keberkesanan pentadbiran cukai bergantung kepada pembinaan kepercayaan awam, yang paling baik disokong oleh penilaian kes secara objektif dan berasaskan fakta, di samping komunikasi yang jelas serta pantas,” katanya.

 

Beliau menjelaskan, sekiranya berlaku pertikaian besar, peluang penglibatan awal yang lebih luas boleh meningkatkan keyakinan pembayar cukai serta memperkukuh komitmen HASiL terhadap sistem yang adil dan telus.

 

“Tambahan pula, percukaian merupakan asas pembangunan negara yang menyokong penyediaan perkhidmatan penting, infrastruktur serta program bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.

 

“Ketika negara bersiap sedia dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP) 2026–2030 yang menekankan tadbir urus baik dan daya tahan ekonomi, usaha untuk menambah baik pentadbiran cukai dan kemajuan perkhidmatan digital akan menjadi kunci dalam membina kepercayaan terhadap sistem percukaian serta menyokong daya saing jangka panjang Malaysia,” katanya.- DagangNews.com