Lebih 35% syarikat antarabangsa rancang kekal, tingkatkan perdagangan dengan Malaysia - Standard Chartered | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 35% syarikat antarabangsa rancang kekal, tingkatkan perdagangan dengan Malaysia - Standard Chartered

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Okt – Malaysia muncul sebagai peneraju utama ASEAN dalam perdagangan global apabila lebih 35% syarikat antarabangsa merancang untuk mengekalkan atau meningkatkan aktiviti perdagangan dengan negara ini, menurut laporan terbaru ‘Standard Chartered – Future of Trade: Resilience’.

 

Laporan itu yang membentangkan hasil kajian daripada 1,200 ketua eksekutif dan pemimpin kanan syarikat antarabangsa mendapati ASEAN semakin penting sebagai pusat penjajaran semula rantaian bekalan dunia dengan Malaysia berada di kedudukan kedua selepas India sebagai pasaran pilihan utama.

 

Menariknya, lebih separuh syarikat dari China dan Amerika Syarikat, masing-masing rakan dagang pertama dan ketiga terbesar Malaysia menyatakan minat untuk berdagang dan menubuhkan operasi pembuatan di negara ini.

 

Selain itu, responden dari Thailand dan Indonesia juga sedang meneroka peluang untuk mendapatkan lebih banyak bekalan Malaysia.

 

Responden Filipina dan Vietnam pula bercadang memperluas eksport ke pasaran negara ini.

 

Syarikat Singapura pula menjadikan Malaysia lokasi pilihan untuk mewujudkan operasi kilang pembuatan kerana tertarik dengan kelebihan pasaran seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

 

Bagaimanapun, laporan itu mendedahkan 80% responden di Malaysia menjangka kos barangan akan meningkat antara 10% hingga 19% dalam tempoh sederhana.

 

Mengulas mengenai laporan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien berkata, 76% syarikat di negara ini melihat konflik geopolitik sebagai faktor paling besar yang membentuk masa depan perdagangan, diikuti tarif perdagangan (62%) dan teknologi baharu (58%).

 

“Penemuan ini menggambarkan masa depan perdagangan yang rumit tetapi penuh potensi, apabila syarikat perlu berdepan dengan hakikat iaitu trend yang berisiko menjejaskan operasi juga mampu membuka peluang baharu dalam membentuk landskap perdagangan global,” katanya.

 

Ketika ini,  syarikat tempatan semakin memberi tumpuan kepada aspek pendigitalan, pelarasan rantaian bekalan dan strategi pengurusan kewangan baharu bagi kekal berdaya saing.

 

Dengan kehadiran di 54 pasaran termasuk kesemua 10 negara ASEAN, Standard Chartered menegaskan kedudukannya sebagai rakan perbankan utama.

 

“Kami menghubungkan syarikat dengan vendor, memudahkan aliran perdagangan rentas sempadan serta menyokong pendigitalan serta rantaian bekalan dengan Malaysia kini berada di barisan hadapan di antara negara ASEAN,” katanya. - DagangNews.com