Leader Energy terima kemudahan pinjaman hijau AS$80 juta bagi biayai semula aset transmisi voltan tinggi di Kemboja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Leader Energy terima kemudahan pinjaman hijau AS$80 juta bagi biayai semula aset transmisi voltan tinggi di Kemboja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Sept - Peneraju tenaga boleh diperbaharui (RE), Leader Energy Group Berhad menerusi Cambodian Transmission II Co Ltd (CTLII) berjaya mendapatkan kemudahan pembiayaan hijau bernilai AS$80 juta daripada konsortium bank yang diketuai oleh Maybank (Cambodia) PLC, yang turut bertindak sebagai bank pengatur tunggal.

 

Dana pembiayaan itu akan digunakan untuk membiayai semula aset transmisi voltan tinggi CTLII, sejajar dengan strategi kumpulan itu untuk menumpukan kepada infrastruktur tenaga lestari. 

 

Langkah itu dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan serta menyokong pertumbuhan masa depan.

 

CTLII memiliki dan mengendalikan talian transmisi 230 kV sepanjang kira-kira 125 km yang menghubungkan Kampong Cham ke Phnom Penh. 

 

Infrastruktur itu menjadi komponen penting dalam rangkaian tenaga Kemboja, meningkatkan kebolehpercayaan grid dan memastikan penghantaran elektrik yang cekap bagi menyokong pembangunan ekonomi serta sasaran akses tenaga negara tersebut.

 

Projek itu bukan sahaja memperkukuh rangkaian transmisi nasional untuk memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat, malah menyokong integrasi sumber RE. 

 

Ia juga membuktikan kebolehpasaran pembiayaan komersial asing ke dalam sektor tenaga Kemboja, sekali gus meningkatkan daya tahan jangka panjang sektor kuasa dan keyakinan sektor swasta.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leader Energy berkata, Datuk Sean H’ng berkata, pembiayaan hijau itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam mempercepatkan peralihan tenaga di Kemboja dan rantau ini. 

 

"Memperkasa keupayaan transmisi bukan sahaja memastikan keselamatan tenaga, tetapi juga menyokong sasaran nasional ke arah masa depan rendah karbon. Kami menghargai sokongan rakan perbankan yang membolehkan kumpulan terus menyampaikan rumusan tenaga yang memajukan masyarakat dan melindungi alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global Banking Kumpulan Maybank, Datuk John Chong berkata, sebagai bank ASEAN terkemuka dan peneraju kelestarian dengan kehadiran di kesemua 10 pasaran serantau, pihaknya berbangga bekerjasama dengan Leader Energy. 

 

"Kerjasama ini menjawab permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur tenaga lestari di Kemboja untuk menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi. Pembiayaan hijau ini sejajar dengan keutamaan kami menyokong syarikat bersaiz sederhana untuk muncul sebagai juara serantau serta memacu pembangunan mapan dalam sektor strategik," katanya.

 

Dari tahun 2021 hingga akhir Jun 2025, Maybank telah menggerakkan kira-kira RM140 bilion dalam pembiayaan lestari di seluruh ASEAN, jauh mengatasi sasaran RM80 bilion menjelang 2025. - DagangNews.com