KUALA LUMPUR 30 Sept – Leader Energy Group Berhad dianugerahkan projek tenaga solar berkapasiti 136MWp di bawah program Large-Scale Solar 5+ (LSS5+) sekali gus memperkukuh komitmen syarikat terhadap peralihan tenaga di Malaysia.
Projek tersebut akan dibangunkan di Mukim Kuala Ketil, Daerah Baling, Kedah melalui anak syarikat milik penuhnya, Leader Solar Energy III dan dijadualkan mula beroperasi pada tahun 2027.
Ia merupakan kesinambungan daripada projek LSE (38MWp) dan LSE II (29.4MWp) yang dibangunkan di Kedah pada 2018 dan 2019.
Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leader Energy, Datuk Sean H’ng berkata, penganugerahan projek itu adalah satu pencapaian penting bagi syarikat dan membuktikan pengalaman kukuh dalam pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Setelah berjaya melaksanakan LSE dan LSE II di Kedah, kami yakin dapat memberikan yang terbaik untuk LSE III.
“Kami berbangga dapat memainkan peranan dalam memacu peralihan tenaga Malaysia sambil meneruskan perkembangan kami di seluruh Asia.
“Setiap projek baharu membawa kami semakin dekat kepada aspirasi untuk melihat masa hadapan yang lebih baik di mana RE mampu meningkatkan kehidupan komuniti dan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Di luar Malaysia, kepakaran Leader Energy meliputi tujuh pasaran Asia, dengan pelbagai portfolio dalam aset solar, angin, hidro dan transmisi, menyerlahkan hala tuju dalam RE Kumpulan Leader Energy yang semakin berkembang.
Komitmen Leader Energy untuk memajukan tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan tujuan syarikat untuk menyediakan tenaga lestari yang memanfaatkan masyarakat dan alam sekitar.
Dengan rangkaian projek yang kukuh dan kepakaran terbukti dalam membangunkan aset tenaga boleh diperbaharui berskala besar, Leader Energy kekal komited untuk memacu penciptaan nilai jangka panjang, membina infrastruktur lestari, dan menyokong peralihan mampan ke arah masa depan rendah karbon. - DagangNews.com








