LBS Bina, Oriental Holdings bekerjasama laksanakan pembangunan bercampur RM7 bilion di Klebang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LBS Bina, Oriental Holdings bekerjasama laksanakan pembangunan bercampur RM7 bilion di Klebang

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 16 Mei – LBS Bina Group Bhd bekerjasama dengan Oriental Holdings Bhd bagi melaksanakan projek bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 bilion di Klebang, Melaka.

 

Kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi cadangan pembangunan di atas tanah seluas kira-kira 227 hektar yang akan dilaksanakan dalam empat fasa dalam tempoh 15 tahun.

 

Projek tersebut merangkumi pembangunan bercampur meliputi sektor perindustrian dan komersial, dengan lokasi terletak kira-kira 9 kilometer dari Pelabuhan Tanjung Bruas dan barat laut pusat bandar Melaka.

 

Tapak pembangunan berada dalam Zon Ekonomi Pesisir Selat Melaka (SM-WEZ) yang dirangka kerajaan negeri untuk merancakkan aktiviti ekonomi mampan dalam sektor industri, logistik, maritim, perdagangan, dan pelancongan.

 

mou

 

Oriental Holdings akan menerima pulangan 17% daripada GDV hasil jualan unit hartanah, dikira pada kadar minimum RM50 sekaki persegi atau RM1.2 bilion, bergantung kepada jumlah yang lebih tinggi.

 

Projek itu turut mendapat kelebihan daripada akses rangkaian pengangkutan dan logistik seperti Melaka Sentral, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, dan Plaza Tol Ayer Keroh.

 

LBS Bina melihat kerjasama itu sebagai peluang mengukuhkan kehadiran kumpulan di Melaka dan menyokong pertumbuhan masa depan.

 

Oriental Holdings pula berkata, kerjasama ini membolehkan kumpulan memanfaatkan kepakaran, sumber, dan rangkaian LBS dalam pembangunan hartanah.- DagangNews.com