Laporan Ketua Audit Negara: IDEAS ulang gesaan pembaharuan undang-undang berkaitan tadbir urus GLC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Laporan Ketua Audit Negara: IDEAS ulang gesaan pembaharuan undang-undang berkaitan tadbir urus GLC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) sekali lagi menggesa pembaharuan undang-undang berkaitan perolehan awam dan tadbir urus syarikat milik kerajaan (GLC), susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) terbaharu yang sekali lagi menegur kelemahan dalam pematuhan dan pengawasan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, ketiadaan Akta Perolehan Kerajaan yang tersendiri serta rangka kerja undang-undang bagi tadbir urus GLC terus membuka ruang kepada ketirisan, kelewatan dan keputusan yang tidak telus menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit wang pembayar cukai setiap tahun.

 

“Prosedur yang tidak teratur menunjukkan wujudnya kecenderungan untuk mengutamakan kecepatan melaksanakan projek berbanding pembaharuan struktur yang perlu bagi memastikan projek awam memberikan nilai terbaik untuk wang rakyat.

 

“Kita perlukan sebuah kerajaan yang melindungi wang awam dengan keazaman yang sama seperti ketika ia mengutipnya,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat telah menunjukkan beberapa kelemahan dalam proses perolehan, termasuk kegagalan tadbir urus serius dalam pengambilalihan empat ladang sawit oleh Felcra Bhd bernilai RM241.76 juta antara tahun 2022 hingga 2024.

 

Laporan itu turut mencatatkan perjanjian pajakan bagi tiga ladang di Kelantan — dengan jumlah nilai RM179.47 juta — telah dimeterai secara tergesa-gesa dalam tempoh hanya 12 hari, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai tahap ketelitian dan proses membuat keputusan.

 

Dalam laporan tersebut, Ketua Audit Negara mencadangkan agar sistem perolehan prakelayakan sedia ada dihentikan, kerana didapati mudah dimanipulasi dan membawa risiko kelewatan serta tiadk efisyen.

 

IDEAS menyokong cadangan Ketua Audit Negara untuk mewujudkan pangkalan data berpusat dan bersepadu bagi pembekal prakelayakan yang dihubungkan dengan sistem e-perolehan negara bagi meningkatkan ketelusan.

 

Badan pemikir itu turut menggesa kerajaan agar memberi keutamaan kepada pembentangan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan — yang pertama kali diumumkan pada tahun 2023 — bagi menetapkan piawaian undang-undang yang jelas berkaitan ketelusan dan perolehan secara kompetitif, yang meliputi bukan sahaja kementerian tetapi juga agensi awam dan badan berkanun yang menggunakan dana awam.

 

“Undang-undang ini seharusnya mewajibkan pendedahan secara proaktif mengenai pelan perolehan, notis tender, kriteria pemilihan, dan kontrak akhir melalui platform perolehan berpusat kerajaan, serta menguatkuasakan pematuhan melalui mekanisme semakan bebas,” kata IDEAS.

 

IDEAS turut berkata, satu rangka kerja undang-undang khusus diperlukan untuk memperkukuh tadbir urus dalam syarikat milik kerajaan (GLC), yang kebanyakannya menguruskan aset awam yang besar tetapi beroperasi dengan pengawasan awam yang terhad.

 

Undang-undang sedemikian perlu mentakrifkan peranan mereka dalam kepentingan awam, memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah secara telus dan berasaskan merit, serta menyediakan mekanisme pengawasan Parlimen yang lebih kukuh, tambah badan pemikir itu. - DagangNews.com