KUALA LUMPUR 9 Mei - Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) merupakan sesuatu yang mengejutkan pasaran.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, keputusan yang diambil itu mampu mengekalkan daya saing pasaran kewangan dalam gelombang pelonggaran dasar monetari serantau.
Katanya, tindakan itu merupakan satu kejutan memandangkan kedudukan mudah tunai sektor perbankan masih dalam keadaan selesa.
Ia menunjukkan, nisbah liputan mudah tunai (Liquidity Coverage Ratio) sektor tersebut berada pada tahap sihat iaitu 152% setakat Mac 2025, manakala nisbah pinjaman kepada deposit pula kekal selesa pada 87.6%, masih di bawah paras tertinggi lima tahun iaitu 89.7%.
Deposit pula terus mencatat pertumbuhan stabil sebanyak 3% tahun ke tahun, manakala permintaan kredit kekal kukuh dan persaingan deposit tetap juga adalah sederhana.
HLIB berkata, penurunan beransur-ansur dalam Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tiga bulan sejak awal tahun ini daripada 3.73% kepada 3.63% menyokong pandangan, kecairan antara bank adalah mencukupi.
“Kami percaya langkah itu, bertujuan mengekalkan daya saing pasaran kewangan Malaysia dalam trend pelonggaran dasar serantau.
“Ia bukan petanda ketidaktentuan ekonomi yang memerlukan pelarasan dasar monetari, sebaliknya menunjukkan pendirian proaktif terhadap risiko luaran yang berpotensi,” katanya dalam satu nota kajian.
BNM secara mengejut telah mengurangkan nisbah SRR sebanyak 100 mata asas kepada 1% semalam, menandakan kali pertama langkah ini diambil sejak Mac 2020.
Pemotongan itu dijangka menyuntik sekitar RM19 bilion kecairan tambahan ke dalam sistem perbankan.
Dengan menggunakan pemotongan SRR berbanding pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR), HLIB berkata, bank pusat secara strategik mengelakkan tekanan langsung ke atas nilai ringgit dan risiko inflasi import yang berkaitan.
Berdasarkan pengiraannya, firma penyelidikan itu berkata, kecairan tambahan itu boleh meningkatkan keuntungan bersih bank antara 1% hingga 3%, sekali gus menyediakan penampan sekiranya berlaku pengurangan kadar faedah.
“Kami mengekalkan pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas mungkin berlaku pada separuh kedua 2025,” katanya.
HLIB mengekalkan penarafan “overweight” ke atas sektor perbankan dengan menyatakan ia menawarkan hasil dividen purata yang menarik sebanyak 5.1% dan kapasiti pendapatan yang kukuh disokong penampan peruntukan awal yang besar.
MIDF Research berkata, pengurangan SRR kepada paras terendah dalam tempoh 14 tahun ini merupakan langkah proaktif bagi memastikan kecairan mencukupi di tengah-tengah kebimbangan terhadap kesan perang perdagangan dan risiko kelembapan ekonomi global.
“Langkah itu mungkin menggalakkan bank meluaskan lagi kredit kepada ekonomi dan menyokong perkembangan aktiviti ekonomi domestik.
“Untuk rekod, pertumbuhan pinjaman perbankan merosot kepada 5.2% pada Mac 2025, lebih perlahan berbanding 5.5% pada Disember 2024 dan purata kenaikan 5.9% pada 2024,” katanya.
UOB Global Economics & Markets Research berkata langkah ini akan membantu menyokong aktiviti pinjaman berterusan bagi memastikan kestabilan aktiviti ekonomi.
Susulan nada berhati-hati dalam kenyataan dasar monetari terbaru dan pengurangan SRR, firma itu menjangkakan dua kali pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas, masing-masing satu pada suku ketiga dan suku keempat 2025, berbanding unjuran terdahulu yang kekal.
“Ini akan membawa OPR kepada 2.5% menjelang akhir 2025. Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) seterusnya akan diadakan pada 8 hingga 9 Julai, yang turut menandakan tamatnya tempoh penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari dan boleh menyebabkan kadar tarif Malaysia kembali meningkat kepada 24% daripada kadar asas semasa iaitu 10%,” katanya. - DagangNews.com








