Landskap perniagaan mencabar, RHB Research potong unjuran keuntungan CTOS sebanyak 27% pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Landskap perniagaan mencabar, RHB Research potong unjuran keuntungan CTOS sebanyak 27% pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - RHB Research mengurangkan unjuran keuntungan CTOS Digital Bhd sebanyak 27% bagi FY25 disebabkan kelemahan prestasi merentasi perniagaan utama serta landskap perniagaan yang semakin mencabar.

 

Katanya, kumpulan itu ketika ini sedang melaksanakan perubahan strategi bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang mampan.

 

"Trajektori pertumbuhan kumpulan juga diramal sederhana antara 10% hingga 15% disokong pengoptimuman kos, penghentian pelaburan yang tidak menguntungkan serta potensi pertumbuhan lebih tinggi daripada inovasi produk baharu," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat bersekutu CTOS, Juris Technologies kekal berada di landasan pertumbuhan yang kukuh, dengan rangkaian projek yang pelbagai dan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CTOS catat untung bersih RM21.2 juta pada 2QFY25 dipacu sumbangan kukuh segmen akaun utama

 

Selain itu, katanya, RAM Holdings dijangka mencatatkan keputusan yang lebih kukuh pada tahun kewangan 2025, sekali gus memberikan sokongan tambahan kepada unjuran pendapatan kumpulan.

 

"CTOS juga telah menyelesaikan pelupusan sebuah bangunan pada Jun 2025, di mana kumpulan dijangka menerima dividen sebanyak RM32 juta hasil daripada transaksi tersebut," katanya.

 

Susulan semakan semula keuntungan, RHB Research telah menurunkan unjuran pendapatan CTOS masing-masing sebanyak 26.5%, 26.4%, dan 24% bagi FY25, FY26 dan FY27.

 

Katanya, harga sasaran kumpulan berdasarkan model aliran tunai terdiskaun (DCF) turut disemak turun kepada RM1.16 daripada RM1.49, termasuk diskaun ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) sebanyak 4%.- DagangNews.com