LAC Med terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LAC Med terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Penyedia rumusan peranti perubatan, LAC Med Berhad telah menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk meneruskan tawaran awam permulaan (IPO) dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LAC Med, Liew Yoon Poh berkata, sepanjang dua dekad, pertumbuhan syarikat amat memberangsangkan meskipun berdepan pelbagai cabaran.

 

“Dekad pertama membina ketahanan dan kepercayaan dalam industri perubatan yang ketat, manakala dekad kedua memperkukuh kedudukan kami sebagai rakan dipercayai bagi institusi kesihatan.

 

“Kelulusan SC untuk IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia membuka lembaran baharu dengan peluang pertumbuhan lebih luas, termasuk mewujudkan segmen perniagaan baharu dan memperluaskan kehadiran pasaran di Indonesia.

 

“Kami komited untuk terus mencipta nilai jangka panjang bagi industri kesihatan serta pihak berkepentingan dan pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ditubuhkan pada 2003, LAC Med telah membina reputasi lebih dua dekad sebagai penyedia penyelesaian menyeluruh bagi pembekalan dan integrasi peranti perubatan.

 

Kumpulan itu menyokong lebih 300 pelanggan aktif merangkumi institusi kesihatan awam dan swasta, universiti, pejabat kesihatan tempatan, pembekal peranti perubatan serta syarikat konsesi di seluruh Malaysia ketika ini.

 

Keupayaan LAC Med merangkumi perancangan dan reka bentuk awal, pembekalan dan pemasangan peranti perubatan dan ujian serta perkhidmatan sokongan selepas pemasangan termasuk latihan, sokongan teknikal dan penyelenggaraan.

 

LAC Med juga menyediakan perisian dan integrasi sistem bagi fasiliti kesihatan, menghubungkan pelbagai peranti perubatan bagi memudahkan pengurusan data dan analitik, sistem sokongan keputusan klinikal berasaskan AI, paparan dan penyimpanan data.

 

Sebagai pengedar sah di Malaysia, LAC Med membekalkan jenama pihak ketiga termasuk peralatan perubatan dan produk berkaitan, merangkumi barangan boleh guna perubatan serta penyediaan perisian dan integrasi sistem.

 

Jenama terkemuka yang diwakili termasuk Samsung dan Philips, manakala sejak 2023, LAC Med turut menjadi pengedar sah bagi Stryker, LG, SwiftMR, Abbott, annalise.ai dan Baxter.

 

Kumpulan ini turut memiliki rangkaian sokongan meluas di Semenanjung dan Malaysia Timur termasuk sembilan pengurus projek dan perniagaan, 11 pakar aplikasi klinikal, 24 profesional jualan dan pengurusan akaun, serta 19 jurutera dan kakitangan teknikal lapangan bagi menyelenggara perkhidmatan dan menyediakan sokongan teknikal yang pantas dan boleh dipercayai.

 

RHB Investment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat utama, penaja dan ejen penempatan tunggal bagi latihan IPO ini. - DagangNews.com