KWSP kini pemegang saham utama NationGate dengan pegangan 5.1% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP kini pemegang saham utama NationGate dengan pegangan 5.1%

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini menjadi pemegang saham utama dalam NationGate Holdings Bhd selepas memperoleh pegangan langsung sebanyak 5.1% dalam penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KWSP berkata, pihaknya telah membeli 89.39 juta saham atau 3.93% kepentingan dalam NationGate pada 15 Julai, sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu premis tersebut.

 

“Pembelian ini menjadikan jumlah pegangan KWSP melepasi 5% yang melayakkan kami diklasifikasikan sebagai pemegang saham utama,” katanya.

 

Berdasarkan harga penutupan saham NationGate sebanyak RM1.49 pada 15 Julai iaitu paras terendah sejak 23 Jun, nilai kasar pembelian saham itu dianggarkan sekitar RM133.19 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN NationGate: Serbuan SPRM tidak dijangka jejas kewangan atau operasi

 

Susulan transaksi itu, KWSP kini merupakan pemegang saham keempat terbesar NationGate, selepas Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama kumpulan Datuk Ooi Eng Leong (48.26%), isterinya Datin Tan Ah Geok (6.48%) dan Amanah Saham Nasional (5.5%).

 

Pada 17 Julai, NationGate menjelaskan serbuan SPRM itu adalah sebahagian daripada siasatan berterusan berkaitan aktiviti penyeludupan logam sekerap yang melibatkan anak syarikatnya, NationGate Solution (M) Sdn Bhd.

 

Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan siasatan tersebut tidak akan memberi kesan ketara terhadap prestasi kewangan atau operasi kumpulan buat masa ini. - DagangNews.com