KUALA LUMPUR 11 Dis – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeterai Nota Kolaborasi Strategik dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyokong pelaksanaan caruman KWSP wajib untuk pekerja bukan warganegara, selaras pengumuman Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri pada 18 Oktober 2024.
KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, kerjasama berkenaan menjadi komponen penting untuk memastikan pematuhan majikan terhadap peruntukan dalam Akta KWSP 1991.
Melalui integrasi sistem antara KWSP dan JIM, kedua-dua agensi kini dapat berkongsi data pekerja asing dengan lebih tepat dan selamat, termasuk pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (VPTE), Pas Pekerjaan, serta pas kerja sah lain yang membolehkan mereka bekerja di Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata kerjasama itu mengukuhkan keupayaan kedua-dua agensi dalam pengesahan status pekerja dan mempercepat pendaftaran pekerja asing.
“Kerjasama ini meningkatkan kemampuan KWSP dan JIM dalam mengesahkan status pekerja, mempertingkatkan ketelusan serta mempercepat pendaftaran pekerja bukan warganegara. Ia satu langkah penting dalam memastikan pematuhan menyeluruh terhadap syarat caruman wajib,” katanya.
Menurutnya, pengukuhan sistem serta aliran data membolehkan proses pengesahan dilakukan dengan lebih efisien, khususnya ketika fasa pelaksanaan caruman wajib yang telah berkuat kuasa pada 1 Oktober 2025.
Ini sekali gus memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi memastikan semua majikan menunaikan tanggungjawab statutori masing-masing.
Setakat ini, 1.3 juta pekerja telah membuat caruman melalui kira-kira 60,000 majikan, menunjukkan permulaan positif dalam kalangan majikan yang patuh serta bertanggungjawab.
Namun, KWSP menegaskan masih terdapat majikan yang belum mematuhi keperluan tersebut dan tindakan itu menjejaskan perlindungan sosial pekerja asing mereka.
KWSP mengingatkan majikan yang gagal mematuhi arahan boleh dikenakan penalti dan tindakan undang-undang.
Bagi memastikan caruman dikreditkan dengan tepat, KWSP mengingatkan majikan untuk menyediakan maklumat lengkap pekerja seperti nama penuh, nombor pasport dan nombor keahlian KWSP.
Antara garis panduan yang dikemas kini adalah:
• Pendaftaran majikan boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal rasmi KWSP atau di mana-mana cawangan.
• Pekerja asing yang memegang VPTE dan Pas Pekerjaan akan didaftarkan secara automatik tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP.
• Status pendaftaran pekerja boleh disemak melalui portal i-Akaun (Majikan).
• Bagi kategori pas kerja lain, pendaftaran serta pengemaskinian maklumat boleh dilakukan di kaunter KWSP.
• Pekerja digalakkan melengkapkan pendaftaran cap jari di pejabat KWSP bermula Januari 2026.
Maklumat lanjut berhubung caruman wajib pekerja bukan warganegara boleh didapati melalui laman khas di portal KWSP.
Menurut Sazaliza, kerjasama KWSP–JIM itu menandakan langkah penting ke hadapan dalam memastikan dasar negara dilaksanakan dengan disiplin, integriti dan kecemerlangan operasi, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada majikan, pekerja serta keseluruhan ekosistem pekerjaan. - DagangNews.com








